Sunday, March 18, 2012

Penanaman Pokok


Penghantaran anak benih pokok dan persiapan penanaman

Penanaman pokok bermula dengan proses penghantaran. Anak-anak pokok yang dihantar perlu disusun dan dipelihara supaya tidak rosak semasa proses penghantaran. Pokok yang telah dimasukkan ke dalam lori sebaiknya bertutup bagi mengelakkannya rosak akibat rempuhan angin semasa di dalam perjalanan. Pastikan anak benih yang dipilih untuk dihantar mempunyai daun yang telah tua dan bukannya berpucuk muda. Pokok yang berpucuk muda lebih senang untuk rosak berbanding daun-daun yang telah matang. Elakkan juga memilih anak pokok yang baru ditukar ke dalam polibeg yang lebih besar. Perhatikan pada media di dalam polibeg berkenaan bagi memastikan tanahnya masih baharu. Tanah yang masih baharu mudah terlerai semasa proses penanaman nanti.

Proses penghantaran akan melibatkan perancangan. Rancanglah supaya anak-anak pokok dapat dihantar pada awal pagi atau melalui perjalanan pada waktu malam bagi mengurangkan kesan panas terik matahari dan juga kesesakan.

Pokok ataupun anak benih yang telah sampai di lapangan perlu segera diturunkan. Terdapat beberapa persiapan awal termasuk menyediakan kawasan simpanan sementara bagi menyelaras dan mempercepatkan proses menurunkan pokok. Pokok yang diturunkan sebaiknya disusun secara menegak. Elakkan daripada membaringkan pokok terlalu lama. Bergantung kepada kuantiti anak benih yang dihantar, anak-anak benih ini tidak semuanya mampu ditanam dalam tempoh satu hari. Justeru, memastikan pokok berada dalam keadaan yang mudah untuk dijaga akan membantu mengurangkan tekanan ataupun stress terhadap pokok berkenaan. Anak-anak pokok terutamanya yang agak tinggi (sekitar 2m - 4m) tidak boleh dibiarkan berdiri tegak tanpa sebarang sokongan. Kelalaian mengikatnya pada lokasi susunan/simpanan boleh mengakibatkannya terjatuh atau tumbang akibat ketidakseimbangan ataupan tiupan angin. Kelalaian ini juga boleh mengakibatkan dahan atau ranting pokok berkenaan menjadi patah. Pokok - pokok yang telah disusun ini kemudiannya sedia untuk ditanam.


nota:
Adalah sukar untuk menyelenggara anak-anak pokok ataupun bahan tanaman ini bila disimpan dengan cara membaringkannya.
Penyiraman juga tidak akan berkesan kerana berada di dalam kedudukan yang sukar begini
Pokok-pokok ini perlu ditanam dengan kadar seberapa segera


Sesetengah anak pokok tumbuh agak besar di dalam polibeg dan sebahagian daripada akarnya telah masuk ke dalam tanah. Sekiranya keadaan ini berlaku dan anak pokok ini dipilih untuk ditanam maka pokok berkenaan(yang diputuskan akar yang masuk ke dalam tanah)perlu menerima siraman yang banyak bagi mengurangkan kesan kejutan penanaman ataupun planting shock.


Penanaman pokok bersaiz sederhana (ketinggian 1m - 4m)

Secara umumnya aktiviti penanaman perlu berasaskan 'right tree at a right place". Penanaman juga perlu mempunyai tujuannya yang jelas. Berikut merupakan panduan ringkas bagi melaksanakannya :


1. Sediakan lubang penanaman bersaiz 3 kali lebih besar daripada bebola akar.

Bergantung kepada kualiti tanah di tapak penanaman, saiz lubang tanaman sebaiknya 3 kali lebih lebar berbanding saiz bebola akar. Namun bagi tanah yang bermasalah contohnya berbatu batan ataupun terlalu mampat, lubang penanaman sebaiknya dilebarkan sehingga 5 kali lebih lebar daripada saiz bebola akar tanaman tersebut bagi membantu pertumbuhan pokok yang lebih baik untuk masa akan datang.


Saiz lubang tanaman bagi kawasan yang bermasalah, berbatu-batan atau mempunyai kandungan liat yang tinggi hendaklah sekurang-kurangnya 2m (panjang) x 2m (lebar) x 1m (kedalaman).

Penyediaan lubang penanaman boleh berbentuk seakan kuali yakni melebar pada bahagian tepi sementara kedalamannya memadai sama dengan ketinggian bebola akar.


2. Pilih anak benih yang sihat, berbatang tegap serta mempunyai akar yang tidak berpintal dengan bentuk silara yang seimbang. Bawa anak benih berdekatan dengan tapak ataupun lubang penanaman.

3. Pastikan terlebih dahulu kedudukan root-collar pokok. Ukur ketinggian bebola akar pokok berkenaan dan sukat ketinggian yang sama pada kedudukan tengah lubang tanaman. Sekiranya lubang tanaman terlalu dalam , selaraskan ketinggian ini dengan memasukkan kembali media penanaman dan begitulah sebaliknya.




4. Buka polibeg pokok berkenaan dengan cara membuat potongan pada bahagian tapak polibeg terlebih dahulu.

5. Masukkan anak benih ke dalam lubang tanaman dan posisikan dalam keadaan menegak di bahagian tengah lubang penanaman. Pastikan paras root-collar pokok ini berada sama paras dengan tanah asal (ground level) atau berada di kedudukan yang tinggi sedikit (2 cm - 4 cm lebih tinggi dari paras asal tanah). Buka keseluruhan polibeg yang membalut bebola akar.

Lubang penanaman sebaiknya mempunyai kedalaman yang sama dengan ketinggian bebola akar. Sekiranya lubang penanaman disediakan terlalu dalam (tidak digalakkan) maka media penanaman akan dimasukkan terlebih dahulu bagi menyelaras ketinggian bebola akar. Jika keadaan ini berlaku, pastikan kedudukan root collar berada lebih tinggi dengan mengambilkira tanah yang disi tersebut menjadi mendap dan padat selepas menerima siraman dan akibat berat pokok yang ditampung oleh media berkenaan.


6. Masukkan media penanaman di sekeliling bebola akar hingga mencapai separuh ketinggian bebola akar berkenaan dan dengan berhati-hati, tekan tanah berkenaan agar lebih padat pada keliling bebola akar.

7. Masukkan media penanaman hingga penuh dan padat-padatkan di sekeliling bebola akar berkenaan.

Secara umumnya sebaik - baik media tanaman ialah media asal lubang tanaman tersebut yang digali. Namun sekiranya media asal ini didapati boleh menghalang perkembangan akar maka media berkenaan perlu dibuat penambahbaikan melalui penggunaan tanah yang lebih subur atau melalui campuran tanah yang sesuai termasuklah dengan menggunakan bahan-bahan pengelok tanah (soil conditioner).

Kadar campuran tanah yang disyorkan ialah : 3 : 2 : 1 (Tanah : Pasir : Kompos)

kadar-kadar ini perlu disesuaikan mengikut keadaan tanah di kawasan penanaman.


8. Pasangkan kayu sokongan (sekiranya perlu)

Pemasangan kayu sokongan perlu dilakukan sebaik sahaja penanaman itu selesai. Keadaan ini sangat penting terutamanya pada pokok-pokok yang ditanam pada saiz yang besar ataupun tinggi. Secara umumya pokok tidak digalakkan untuk disediakan kayu penyokong lebih-lebih lagi pokok yang ditanam pada saiz yang kecil ( ketinggian kurang daripada 1m ). Walaubagaimanapun berdasarkan tiupan angin yang tidak menentu dan agak kuat, boleh menyebabkan pokok-pokok yang ditanam menjadi tumbang dan rosak.


9. Siram secukupnya.

10. Laksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok.



artikel disediakan oleh mytaman