Showing posts with label Pasu taman. Show all posts
Showing posts with label Pasu taman. Show all posts

Saturday, December 24, 2011

Memilih Tanaman Berpasu



Adakalanya kita menjadi sukar untuk memilih tanaman apakah yang sesuai untuk dijadikan hiasan di dalam pasu kita... justeru artikel di bawah ini diharapkan dapat membantu...


Pemilihan Tanaman Untuk Pasu atau Planter Boxes


Terdapat pelbagai pilihan tanaman yang boleh digunakan sebagai tanaman pasuan. Spesies-spesies ini selalunya dipilih berdasarkan beberapa keistimewaan yang ada padanya. Namun secara umumnya tanaman untuk hiasan pasu dipilih berdasarkan kepada beberapa faktor. Antaranya termasuklah :

1. Tahan lasak dan mudah diselenggara

Meskipun terdapat pelbagai spesies yang menarik yang boleh digunakan untuk tanaman berpasu, kebanyakan tanaman pasu yang berjaya selalunya terdiri daripada tanaman yang lasak dan mudah diselenggara. Tanaman-tanaman yang sedemikian selalunya tidak memerlukan siraman yang kerap ataupun andaman yang berterusan. Spesies yang digunakan juga agak jarang atau lewat dalam menghasilkan daun-daun yang tua yang kekuningan dan akhirnya kering.


Antara spesies yang boleh dikategorikan sebagai tanaman yang lasak dan mudah diselenggara ini termasuklah :
a. Sansevieria
b. Dracaena
c. Dieffenbachia serta
c. Beberapa spesies kaum palma seperti Raphis dan Yellow Palm

Walaubagaimanapun, ketahanan spesies-spesies ini untuk kekal sihat , cantik dan subur di dalam pasu , masih tetap bergantung kepada kesesuaian lokasi, media sesuai yang digunakan serta peruntukan keperluan asas untuknya.

Sentiasa pastikan tanaman berpasu ini mendapat siraman yang mencukupi tetapi tidak berlebihan. Tanaman ini masih memerlukan cahaya, justeru lokasi yang terlalu gelap atau terlampau kurang cahaya boleh menjejaskan kesuburan pokok.



2. Mempunyai tarikan warna samada melalui bunga ataupun daunnya.

Mahu atau tidak mahu, terlalu sukar untuk kita menafikan bahawa tumbuhan yang dipilih untuk tanaman berpasu begitu sinonim dengan tarikan yang ada pada warna bunga ataupun daunnya. Serlahan warna yang menarik ditambah dengan corak bunga atau daun yang unik menyuntik keselesaan pada pandangan mata pengguna.

Meskipun warna hijau mendominasi hampir kebanyakan warna tumbuhan terpilih, kehadiran warna-warna lain seperti kuning dan kemerahan turut memberikan kontras warna yang sepadan. Kehadiran warna-warna ini turut menghilangkan kesan monotonous hiasan yang dipamerkan.

Tidak semua tanaman yang mempunyai daun berwarna yang menarik dapat bertahan lama atau tumbuh dengan baik bila diperagakan. Serlahan warna yang menarik ini selalunya mampu bertahan lama apabila tanaman berpasu di tempatkan di lokasi yang terbuka dan mendapat penjagaan yang sepatutnya.



Codiaeum ataupun Pokok Puding sering menjadi pilihan kerana serlahan warna yang menarik pada daunnya.



List of foto from the top :

Yucca aloifolia 'Variegata'
Sansevieria trifasciata var. laurentii
Yellow Palm (Dypsis lutecens)
Codiaeum



Artikel ini disediakan oleh mytaman
Layari dunia taman anda di http://mytaman-ilhamnurani.blogspot.com/





Sunday, December 4, 2011

Tanaman Berpasu dan Tanaman Hiasan Dalaman





Container Plants and Indoor Plants

Terdapat pelbagai spesies yang boleh anda gunakan bagi menjadikan tanaman anda - tanaman pasu yang menarik. Spesies - spesies ini boleh terdiri samada yang sesuai untuk digunakan di dalam bangunan ataupun di halaman-halaman luar. Pemilihan lokasi yang sesuai untuk spesies yang ditanam merupakan kunci menjadikan tumbuhan yang anda tanam tumbuh subur dan menarik. Awasi keperluan cahaya dan lain-lain keperluan asas tanaman.

Tanaman berpasu sangat sinonim digunakan sebagai indoor plants. Penggunaan tanaman ini mempunyai kebaikan dan kelebihannya yang tersendiri. Secara umumnya tanaman indoor plants menambahkan seri ruang dalaman sesuatu bangunan. Ia meningkatkan nilai estatika dan mengubah persekitaran menjadi lebih ceria.


Kehadiran tanaman Indoor Plants memberikan kesan positif kepada persekitarannya. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kemasukan tanaman hiasan dalaman atau indoor plants ini turut meningkatkan produktiviti pekerja. Tanaman hiasan dalaman selain mencantikkan , turut menyerap gas-gas beracun ataupun tercemar yang beredar di ruang udara sesebuah bilik. Kehadiran oksigen tambahan (extra oxygen) di ruang pejabat pastinya membantu untuk mengurangkan kesan stress atau tekanan.


Penggunaan tanaman indoor plants menjadi pilihan yang sangat sesuai bagi hiasan dalaman . selain ianya mudah untuk dialihkan, indoor plants turut sesuai untuk dipadankan dengan pelbagai dekorasi.

Kami paparkan beberapa contoh spesies yang digunakan sebagai tanaman pasu samada untuk hiasan dalaman ataupun hiasan luar:



Dieffenbachia amoena



Epipermum aureum






















Aglaonema commutatum 'Tricolor'



Dieffenbachia maculata




Boston Fern

Nephrolepis exaltata




Alocasia x amazonica





Asparagus densiflorus






Artikel ini disediakan oleh mytaman

Menyelenggara Tanaman Berpasu


Tips Menyelenggara Tanaman Berpasu

Tanaman berpasu merupakan antara tanaman yang popular yang mudah kelihatan samada di kawasan-kawasan kediaman persendirian ataupun di dalam dan di luar bangunan-bangunan pejabat. Kehadiran tanaman berpasu merupakan keperluan bagi mengimbangi kembali kewujudan struktur-struktur kejur yang terdiri daripada bangunan (dinding, tiang, lantai dsb), gazebo, jalanraya atau laluan, pagar dan pelbagai.

Terdapat berbagai jenis tanaman turut ditanam di dalam pasu-pasu (yang terdiri daripada pelbagai bentuk) bertujuan menjadikan ruang yang ada lebih menarik di samping menawarkan fungsi - fungsi yang tersendiri.

Namun di sebalik kewujudan tanaman-tanaman berpasu ini, wujud juga satu keperluan untuk memastikannya sentiasa kemas, tanaman sentiasa subur serta sentiasa kelihatan menarik.


Antara tips yang boleh anda gunakan termasuklah :




1. Mengamalkan dan menjaga kebersihan

Amalan kebersihan merupakan saranan agama. " kebersihan adalah sebahagian daripada iman - maksud hadis", justeru menjaga kebersihan pasu juga merupakan amalan baik yang perlu dibudayakan bagi memastikan penataan tanaman berpasu kelihatan sentiasa menarik. Kebersihan bukan bermaksud menjadikan pasu berkilat sentiasa, kebersihan memerlukan komitmen diri kita sendiri untuk memastikan tiada bahan buangan dibiarkan terbiar di dalam pasu tanpa respon daripada kita yang menjaganya. Buanglah kotoran atau sampah-sampah yang ditinggalkan oleh mereka yang masih mengganggap pasu sebagai tempat membuang sampah, puntung rokok dan pelbagai.

Bergantung kepada tema yang digunakan, tidak semua pasu memerlukan pembersihan berpanjangan. Tema-tema persembahan taman seperti 'rustic', Bali , 'tropical' dan pancuran menyaksikan adakalanya pasu-pasu ini lebih sesuai untuk kelihatan seakan 'lama' dan sepadan atau sedondon dengan suasana berkenaan.





2. Menyusun dan Mengemas

Kawasan yang bersih tetapi kedudukan pasu pula tidak teratur, senget dan berselerak memerlukan sentuhan SUSUNAN. Sama ada di rumah kediaman atau di persekitaran pejabat/kantor anda, mana-mana pasu yang berada di dalam kedudukan lurus , pastikan ianya berada di kedudukan yang lurus. Mana-mana pasu yang memerlukan saiz yang sama dari segi susun aturnya hendaklah disusun kembali bersama kumpulannya. Pastikan tanaman yang berada di dalam pasu-pasu ini turut mempunyai tahap kesuburan yang sama. Pastikan juga bentuk silara tanaman di dalam pasu-pasu ini diandam dengan rupabentuk yang sama untuk kesan keseragaman di dalam susun atur tanaman nanti. bergantung kepada kesesuaian lokasi anda , tanaman berpasu pada bahagian sudut dinding , ada kalanya lebih sesuai diolah dengan pasu berlainan saiz dan ketinggian.


3. Pelihara kesuburan pokok

Pasu yang bersih, kemas dan cantik masih kelihatan hambar sekiranya mempunyai pokok yang kurang subur, rosak dan berstatus "hidup segan mati tak mahu". Tumbuhan yang ditanam perlu dipelihara kesuburannya. Lakukan siraman, perelokkanlah media dan suburkannya dengan menambahkan bahan organan bagi penambahan nutrien dan memperbaiki struktur media.

Siraman untuk pokok di dalam pasu perlu dilakukan mengikut keperluan tanaman. Sesetengah tanaman seperti Bougenvilla tidak memerlukan siraman yang banyak. Tanaman paku pakis lebih menggemari siraman ke atas daun selain siraman ke media. melakukan siraman yang berlebihan sehingga tanah terlalu lembab boleh merosakkan tanaman itu nanti.

Bajalah tanaman di dalam pasu dan lakukan siraman apabila selesai membaja. Awasi pembajaan agar tidak terlalu hampir dengan pangkal pokok bagi mengelakkan batang pokok berkenaan melecuh dan buanglah rumpai yang ada di dalam pasu bagi mengelakkan persaingan mendapatkan nutrien serta menjadikannya kelihatan lebih kemas dan menarik.

Perhatikan sekiranya tanaman di dalam pasu mula diserang penyakit. Pencegahan serangan penyakit boleh dilakukan sekiranya kita dapat mengesan kehadirannya lebih awal. Potong dan buang daun-daun yang diserang penyakit agar tidak nanti merebak ke daun-daun yang lain. Musnahkan perosak seperti siput atau ulat yang boleh memakan daun tanaman.


Menyelenggara tanaman berpasu hampir sama dengan penyelenggaraan tanaman di halaman kediaman ataupun lapangan. Kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan dengan kefahaman dan komitmen yang tinggi. Minat dan kesungguhan untuk memiliki tanaman pasuan yang sihat dan cantik akan mendorong kepada komitmen ini.

Semoga contoh-contoh foto yang ada turut mendorong kita untuk memastikan tanaman berpasu yang ada sentiasa kelihatan menarik...

Hargai keindahan tanaman dan pasu anda....























Artikel ini disediakan oleh mytaman


Friday, July 30, 2010

Membina Taman Pasu - pasuan


Sekiranya halaman rumah anda agak kecil dan anda masih berhasrat untuk memiliki sebuah taman di dalamnya maka pilihan terbaik untuk anda ialah membina taman bertemakan pasu-pasuan. Sesetengah daripada kita memperuntukkan pelbagai alasan semata-mata bagi meyakinkan bahawa kawasan tanpa ruangan tanah tidak akan mungkin menjadi sebuah taman namun alasan ini boleh diatasi sekiranya kita berminat dan mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.

Taman pasuan merupakan pilihan yang yang sesuai terutama kepada mereka yang mempunyai halaman yang kecil serta waktu yang terhad untuk berinteraksi dengan tumbuhan mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah membuat pemilihan tanaman yang tepat, bersesuaian dengan lokasi dan menyusunnya dengan kemas serta teratur. Di dalam menyediakan taman pasuan, pemilihan pasu turut memainkan peranan yang cukup penting. Pastikan anda memilih pasu-pasu dengan karektor-karektornya yang tersendiri yang boleh memberi daya tarikan di dalam peragaan landskap berkenaan. Ini bertujuan untuk menghilangkan keadaan monotonous yang ujud di dalam seni susun-atur taman.


Memilih tema pasuan bukanlah bermakna anda harus mengisi setiap pasu dengan tumbuhan. Pilihlah pasu yang sesuai untuk anda peragakan spesies tumbuhan yang istimewa atau serlahkanlah elemen air dengan menggunakan pasu bagi menghidupkan lagi suasana. Penggunaan elemen air ini akan mencetus bunyi percikan atau deruan semulajadi dan mewujudkan suasana agar kelihatan segar dan dinamik.

Teknik penggunaan pasu yang sama dan berulang boleh anda gunakan bagi menghasilkan kesan turutan dan pandu arah di dalam skim landskap anda. Pastikan juga pasu-pasu berkenaan mempunyai ketinggian yang pelbagai bagi mengimbangi kesesuaian jenis tumbuhan yang digunakan. Sesetengah pasu mungkin digunakan sebagai 'kaki' bagi meninggikan pasu yang lain.


Penekanan terhadap warna dan jenis pasu turut mempengaruhi penyerlahan taman anda. Terlalu banyak campuran jenis pasu boleh menjadikan laman anda kelihatan seperti cacamerba. Penggunaan pasu dengan warna yang terang seperti biru, merah atau ungu umpamanya memungkinkan penggayaan taman anda bersifat ke arah kontemporari. Kesannya akan lebih ketara apabila pasu-pasu berkenaan dibuat dalam bentuk bersegi. Penggunaan pasu yang berpenjuru bulat akan membantu menjadikan taman kelihatan lebih natural dan bersahaja. Bandingkan warna dinding dengan pasu anda agar kelihatan kontras atau sedondon.



Anda ingin berkongsi taman anda dengan pengunjung mytaman-ilhamnurani. Hubungi kami untuk singgah di rumah anda.

Artikel oleh mytaman
(artikel ini telah dibuat penambahbaikan pada 4 Dis 2011 - mytaman@mytaman ilhamnurani)

Wednesday, July 28, 2010

Pasu-pasuan

Pasu dan Kepelbagaiannya



Ada pelbagai jenis pasu yang biasa digunakan di dalam senihias taman. Pasu-pasu ini kebiasaannya dipilih berdasarkan kesesuaian lokasi dan tujuan penggunaannya. Umumnya pasu digunakan sebagai bekas tanaman namun kreativiti menyaksikan penggunaannya berkembang seiring dengan perkembangan landskap itu sendiri. Pasu kini bukan lagi terhad untuk mempamerkan tanaman cantik atau sekadar bekas bunga-bungaan. ia diolah untuk melambangkan identiti dan sangat popular untuk digunakan sebagai objek tarikan di dalam binaan pancuran- pancuran air. Pasu bukan sekadar diperbuat daripada plastik atau tanahliat. Kesenian dan kreativiti membuahkan kepelbagaian yang sentiasa memikat. Sekiranya anda berminat menggunakan pasu sebagai salah satu elemen ataupun perabot landskap anda, perhatikan perbandingan yang telah kami rekodkan.


Pasu Plastik

1. Murah

Pasu buatan plastik ditawarkan pada harga yang lebih murah . Harga yang murah dengan aneka pilihan mampu memikat pilihan pengguna. Pasu yang murah akan membantu penjimatan kos dalam pengeluaran produk bahan tanaman terutama di peringkat awalan.

2. Ringan

Pasu yang ringan senang dibawa dan mengurangkan masalah pengangkutan. Ini membantu terutamanya jika memerlukan dalam kuantiti yang banyak. Pasu yang ringan juga memerlukan tenaga yang sedikit untuk mengangkatnya. Pasu yang terlampau berat boleh menyumbang kepada beberapa kemalangan kecil termasuklah pada sendi anggota mereka yang mengangkutnya. Penggunaan pasu yang ringan membantu memudahkan kerja-kerja mengubah kedudukan pasu bagi tujuan peragaan.

3. Senang dicuci

Berbanding dengan pasu dari jenis Terra Cotta, pasu plastik lebih senang untuk dicuci. Amalan membersihkan pasu sepatutnya dibudayakan. Sesetengah pasu plastik digunakan berulangkali disebabkan menggunakan tanaman jenis annuals atau semusim. Pasu-pasu yang perlu diganti dengan tanaman yang baru lebih nampak kemas dan bersih setelah dicuci. Amalan membersihkan pasu dapat mengelakkan dari berlakunya jangkitan penyakit.

4. Terdapat dalam pelbagai warna

Kepelbagaian warna yang ada pada pasu plastik membolehkan penggemar tanaman berpasu membuat pilihan bagi memadankannya dengan olahan peragaan.

5. Sesuai untuk tumbuhan kecil

Pasu yang ringan dengan pelbagai warna pastinya sesuai untuk pelbagai tumbuhan ,istimewa untuk tumbuhan yang kecil. Adakalanya penggunaan pasu plastik bersifat sementara yakni digunakan diperingkat awal sebelum diganti ke dalam pasu yang lebih besar.

Antara kekurangan menggunakan pasu plastik pula termasuklah:

1. Mudah tumbang

Keadaannya yang ringan menyebabkan ianya kurang sesuai digunakan untuk tumbuhan berkanopi besar yang membolehkannya mudah tumbang.

2. Tidak polos

Pasu plastik samasekali tidak mempunyai rongga pada bahagian dinding pasu. Menyebabkan air lambat kering. Air yang lambat kering bermakna media tanaman sentiasa lembab. Keadaan media yang sentiasa lembab boleh merosakkan akar. Walaubagaimanapun kemahiran memahami tempoh keperluan air menggunakan pasu plastik akan membantu mengurangkan kerja-kerja menyiram.










Pasu Tanah Liat – Terra cotta

1. Berat
Pasu terra-cotta/tanah liat lebih berat menjadikannya lebih stabil bagi tujuan pameran pokok atau tumbuhan. Sekiranya anda ingin menggunakan tumbuhan yang lebih besar untuk dipamerkan maka pemilihan pasu dari jenis terra-cotta adalah lebih sesuai.

2. Pelbagai corak dan saiz

Pasu terra-cotta juga tersedia di dalam pelbagai bentuk, corak dan saiz. Pembuat pasu ini pula kian memahami kehendak dan selera pelanggan dengan menyediakan motif-motif ukiran tertentu yang boleh dipadankan dengan tema landskap atau taman yang dibina. Sesetengah pasu terracotta turut diberi sentuhan warna yang menarik terutama pada corak yang dilukis.

3. Penampilan lebih menarik

Pasu terracotta selalunya dipasarkan dalam warna coklat , perang, tanah atau diistilahkan sebagai “rustic”. Penampilannya tersendiri dan boleh menjadi focal point yang menarik.


Walaubagaimanapun pasu terra-cotta agak sukar dicuci. Sesetengah pasu dengan form atau rupabentuk buyung atau gemuk dan tirus memerlukan berus yang panjang untuk membersihkannya. Anda boleh masukkan sedikit garam dan sedikit air serta menggoncangkan bagi mengeluarkan kekotoran di dalam pasu berlkenaan.

Kelemahan pasu terra-cota ialah ianya sangat mudah pecah. Kerja-kerja mengangkatnya perlu dilakukan secara berhati-hati. Keadaannya yang berat menyukarkan sedikit pengendalian pasu jenis ini. Dindingnya yang berongga atau polos menyebabkan air media lebih cepat kering.

Sunday, July 25, 2010

Penggunaan Pasu di Kawasan Bandar dan Pekan


Kepentingan dan Fungsi

Sepertimana peranan yang diperlukan penggunaannya di halaman-halaman kediaman, pasu atau kotak-kotak tanaman juga merupakan satu keperluan bagi membentuk atau mewujudkan keistimewaan sesebuah bandar. Apa yang ketara ialah penggunaan pasu di kawasan bandar sebaiknya mengikut skala yang sesuai dengan lokasi di mana ianya digunakan. Penggunaan pasu bersaiz kecil atau agak sederhana di kawasan yang luas dan besar tidak mendatangkan banyak impak meskipun bilangannya banyak. Keadaan sebegini boleh diperbaiki dengan menggantikan pasu yang lebih besar meskipun kuantitinya sedikit. Bilangan pasu yang digunakan pastinya dipengaruhi oleh keperluan atau rekabentuk peragaan yang dicadangkan oleh pihak Arkitek Landskap. Selain daripada itu susun atur pasu-pasuan di kawasan bandar juga boleh berfungsi sebagai hadangan bagi menghalang kemasukan kenderaan ke kawasan-kawasan tertentu istimewanya bagi menggalakkan pengguna berjalan kaki.

Tips Peragaan Pasu di Kawasan Taman, Bandar atau Pekan

Sebahagian daripada pasu yang banyak kedapatan di kawasan bandar ditanam dengan tumbuhan-tumbuhan popular bagi menambahkan lagi nilai estatika pasu berkenaan. Namun hakikatnya, tidak semua pasu yang dipamerkan perlu diisi dengan tanaman! Sesetengah pasu cukup sekadar berdiri dengan dirinya sahaja. Rupa bentuk, motif yang dipaparkan adakalanya mencukupi bagi memberikan impak istimewa di kawasan berkenaan. Hakikat bahawa tidak semua pasu perlu diisi dengan tumbuhan juga terbukti apabila kita mendapati bahawa pasu juga begitu popular digunakan sebagai arca atau sebahagian daripada elemen taman-taman air dan dikenali sebagai pasu pancuran. Pasu-pasu sebegini disusun dan diolah dengan gaya yang tersendiri bagi menghasilkan arca pancuran air yang menarik.





1. Mengenalpasti fungsi.

Sebelum penggunaan pasu dilaksanakan di kawasan berkenaan, kenalpasti fungsi yang boleh diketengahkan. Selain hiasan estatik, memberi impak landskap kejur secara segera dan unik, terdapat fungsi lain juga yang disesuaikan mengikut keperluan seperti hadangan atau dijadikan tong sampah yang menarik!

2. Menentukan identiti.

Penentuan identiti bukanlah terhad untuk melambangkan daerah atau kenegerian semata-mata. Apa yang penting ialah melahirkan ‘sense of place’ pada taman atau lokasi berkenaan. Melahirkan imej-imej tempatan boleh diolah dengan pelbagai cara. Taman-taman Anggerik umpamanya akan kelihatan sedondon sekiranya pasu yang digunakan untuk hiasan mempunyai motif anggerik pilihan. Begitu juga untuk kawasan yang terkenal dengan produk buah-buahan. Mengolah pasu-pasu hiasan dengan rupabentuk buah-buahan tertentu mengikut kesesuaian mungkin akan mudah memberi ingatan istimewa kepada pengunjung yang bertamu ke bandar berkenaan! Contoh yang ditunjukkan oleh sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan – menggunakan model bekas makanan tradisional negeri berkenaan merupakan idea yang menarik dan praktikal. Apa pandangan anda melihat pasu bermotifkan ‘dinasor’ di sebuah taman Halia? Aneh bukan?

3. Memahami Skala.

Saiz pasu yang digunakan sebaiknya bersesuaian dengan keadaan setempat. Kawasan bandar yang sempit dan terhad mungkin tidak memerlukan saiz pasu yang besar begitu juga sebaliknya. Sekiranya saiz yang besar diperlukan juga, berkemungkinan untuk mencipta kelainan atau sebagai focal point kepada kawasan berkenaan. Pasu yang terlalu kecil bersaiz sekadar untuk halaman rumah adakalanya tidak memperlihatkan apa-apa impak di lokasi berkenaan.


4. Fahami sensitiviti.

Corak, motif atau rekaan rupabentuk pasu perlu mengambilkira sensitiviti masyarakat setempat dan sensitiviti agama. Masalah ini boleh diatasi melalui sikap saling menghormati sesama budaya yang wujud istimewanya di dalam masyarakat majmuk


5. Keupayaan menyelenggara.

Pastikan elemen penyelenggaraan diambilkira apabila anda ingin memasukkan pasu di dalam rekabentuk landkap anda. Kelemahan di dalam aspek penyelenggaraan menyebabkan kita kerap menyaksikan sebahagian pasu-pasu di kawasan bandar terbiar samada berlumut, kotor atau mempunyai tanaman yang mati di dalamnya.


6. Memahami bajet atau keperluan peruntukan

Walau apa pun perancangan yang ingin dilaksanakan. Peruntukan bagi perlaksanaan perlu mencukupi. Penekanan juga perlu dilakukan terhadap keupayaan penyelenggaraan yang rendah bagi memastikan landskap lembut atau kejur yang dibina tidak terabai.




Berikut merupakan beberapa contoh pasu-pasu yang digunakan atau diperagakan di dalam kawasan bandar. Tempat anda pula bagaimana? Kongsikan pasu-pasu dan peragaan yang menarik di kawasan anda untuk rujukan rakan-rakan yang lain...

Semoga kehadiran pasu di kawasan bandar atau pekan ini, akan turut melambangkan identiti yang boleh dibanggakan bersama...





































Artikel disediakan oleh mytaman






Friday, July 23, 2010

Taman Pasu-pasuan - Siri 2


Pemilihan Pasu

Tidak semua pasu sesuai untuk digunakan di dalam taman anda. Sesetengah taman dengan temanya yang tersendiri seperti Taman Jepun agak janggal sekiranya dipadankan dengan pasu labu peram dari negeri Perak. Pemilihan pasu di dalam susunatur taman atau binaan landskap membawa maksud memilih pasu yang sesuai atau sedondon dengan imej taman yang dibina. Pasu-pasu yang terdapat di pasaran terdiri daripada beraneka jenis. Adakalanya boleh menyebabkan kita “gelap mata” untuk memilikinya. Saiz pasu-pasu ini pula pelbagai. Dari yang bersaiz kecil hinggalah ke saiz besar, pasu-pasu ini pastinya mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Bagi golongan penggemar taman termasuklah para suri rumah, pemilihan pasu adakalanya tidak dibuat mengikut keperluan. Pemilihan yang dibuat akibat “tertarik” dengan rekabentuk pasu adakalanya praktikal tetapi berkemungkinan juga tidak menepati keperluan taman anda. Terlalu banyak rupa bentuk pasu yang dipilih boleh menyebabkan olahan landskap kita kelihatan cacamerba. Keadaan bertambah rumit bilamana warna pasu yang dipilih juga pelbagai. Jadi, sebagai panduan :

1. Fokuskan jenis pasu yang hendak digunakan.

2. Tentukan jenisnya. Terdapat pasu yang diperbuat daripada tanah liat dan terdapat juga yang diperbuat daripada plastik. Bahkan, ada juga yang diperbuat daripada simen. Setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

3. Fikirkan tentang bahan tanaman yang akan digunakan untuknya. Spesies dipilih mengikut kesesuaian saiz pasu.

4. Pilihlah pasu dalam saiz dan rupa bentuk yang seragam bagi menzahirkan imej turutan atau ulangan. Awas! Elakkan ulangan yang berlebihan. Taman yang baik seharusnya mampu memberikan kepelbagaian imej atau pemandangan bagi menghilangkan kebosanan.

5. Selami kreativiti diri anda. Pasu bukannya bermakna apa yang terdapat di luar sana! Pasu boleh terdiri dari pelbagai objek yang disesuaikan menjadi pasu! Mengolah sesuatu yang baru dan unik mungkin akan lebih memberi kepuasan kepada diri anda! Ciptalah pasu anda sendiri!

6. Sekali lagi carilah identiti dan personaliti taman anda. Jika sememangnya taman anda “Taman Seribu Pasu” pelbagai pasu pun apalah salahnya….


mytaman
kini @ ilhamnurani
kembali ke halaman bina taman