Showing posts with label bunga raya. Show all posts
Showing posts with label bunga raya. Show all posts

Sunday, September 4, 2011

Bunga Raya - Penyeri Laman Pelbagai Kegunaan


Bunga raya sangat sesuai untuk dijadikan tanaman hiasan halaman. Meskipun kecenderungan menanamnya kelihatan lebih terdorong dek kecantikan bunga yang pelbagai, namun identitinya sebagai bunga kebangsaan masih menjadi sandaran yang popular. Bunga raya memerlukan pancaran matahari yang penuh untuk tumbuh dengan baik. Tanah peroi bersaliran baik dan mengandungi bahan organik sangat sesuai untuk pertumbuhan bunga ini. Ia sesuai digunakan sebagai tanaman pagaran (hedges) atau ditanam berbaris atau sebatang sahaja sebagai pokok individu untuk dijadikan sebagai titik tumpu atau focal point. Silara atau rimbunan pokok ini adakalanya dibiarkan lepas bebas dan adakalanya juga dikawal saiznya dan dibentuk bulat bergantung kepada keperluan dan kesesuaian peragaannya. Tumbuhan ini boleh ditanam bersendirian atau diserasikan dengan tanaman-tanaman yang lain.

Sebahagian penggemar bunga raya turut menjadikannya sebagai tema taman mereka. Taman-taman sebegini selalunya akan didominasi dengan pelbagai jenis tanaman bunga raya yang menarik. Warna dan corak bunga raya yang pelbagai ini sering menjadi daya tarikan taman terutamanya kepada para tetamu yang datang berkunjung. Dalam suasana tertentu bunga raya yang unik adakalanya merupakan pemangkin hubungan sosial kejiranan yang istimewa. Pemberian keratan bunga raya merupakan ingatan berpanjangan apabila ianya berjaya tumbuh dan menjadi pohonan pokok yang baharu.

Tanaman bunga raya bukan sahaja sesuai untuk digunakan di dalam taman yang bertemakan bunga-bungaan, taman-taman melayu ataupun taman tropika. Ia juga sesuai untuk diserlahkan sebagai tanaman herba. Keistimewaan tanaman bunga raya sebagai tanaman yang mempunyai khasiat perubatan sememangnya tidak dapat dinafikan. Bunga raya mempunyai pelbagai khasiat samada untuk kesihatan mahupun kecantikan. Antara spesies yang sering digunakan ialah bunga raya putih.

Bungaraya dikatakan boleh merangsang pertumbuhan rambut. Amalan mandi atau membasuh rambut dengan air yang diramas dengan daun bunga raya dikatakan dapat mengurangkan kelemumur dan meredakan uban. Minyak semulajadi di dalam bunga ini amat berguna sebagai pelicin dan pencantik rambut. Bagi tujuan menghitamkan dan melebatkan bulu kening, kaedah menyapu abu bunga dan daun bunga raya yang dibakar ke bahagian kening dikatakan berkesan. Sementara itu, mengikut petua diraja pula, memakan putik kuntum bunga raya yang belum kembang setiap pagi sebelum sarapan dikatakan mujarab untuk awet muda.

Bunga raya dikatakan mempunyai khasiat yang mujarab untuk menghilangkan batuk. Kandungan hebiscetin yang terdapat di dalam bunga ini merupakan bahan yang amat berkesan untuk meredakan batuk dan menghilangkan kahak. Tumbuhan ini turut mengandungi lendir atau mucin yang memberikan rasa sejuk pada kerongkong dan rongga paru-paru.

Mereka yang mengalami demam panas , boleh menggunakan daun bunga raya putih bagi mengurangkan demam panas yang dialami. Daun bungaraya putih perlu direndam dan diramas sehingga mengeluarkan lendir di dalam bekas air yang mana sisa ramasan daun ini yang terdiri daripada cebisan daun kemudiannya dipupuk pada dahi pesakit bagi meredakan demam.

Bunga raya yang direbus dengan air yang mendidih boleh dijadikan losyen untuk mencuci mata yang bengkak atau mengalami radang. Air yang direbus juga boleh diminum untuk merawat asma , batuk, bengkak kelenjar parotid, bronchitis, selsema, mengeluarkan kahak dan hingus serta merangsang haid. Kudup bunga raya yang telah dihancurkan dicampur dengan garam dan ditampal pada bisul (selalunya bisul akan masak dan pecah). Air rebusan kudup bunga raya boleh diminum dan mampu menambahkan air mani dan merawat bengkak salur kencing. Daun muda dan pucuknya disapu pada perut ibu yang akan bersalin untuk memudahkan melahirkan anak dan proses mengeluarkan uri.

Terdapat pelbagai lagi kegunaan bunga raya yang boleh dieksploitasikan secara komersil bagi tujuan rawatan dan pencegahan penyakit. Industri kosmetik turut menggunakan keistimewaan bunga raya sebagai sebahagian daripada bahan ramuan kecantikan mereka. Tanaman ini yang mendapat jolokan nama Kembang Sepatu di negara Indonesia turut popular sebagai tanaman yang boleh mengilatkan kasut dengan menggunakan bunganya.



Artikel ini disediakan oleh mytaman


Anda mempunyai pengalaman menarik ataupun maklumat tambahan mengenai bunga raya? Hulurkan komen anda di sini untuk dikongsikan bersama pengunjung yang lain.

Artikel berkaitan:

Bunga raya - Kembang Kebangsaan

Bunga raya - Keindahan berpanjangan

Wednesday, August 17, 2011

Bunga Raya - Kembang Kebangsaan

Hibiscus rosa-sinensis L. ataupun bunga raya merupakan antara spesies yang sangat popular dan dikenali hampir di seluruh pelusuk dunia. Tumbuhan yang turut dikenali sebagai “Queen of Tropical Flowers” ini tergolong di dalam famili Malvaceae dan mempunyai beberapa genus dan kepelbagaian spesies dengan jumlahnya sekitar 250-300 spesies. Selain Malaysia, spesies yang turut direkodkan berasal dari negara India telah dibawa oleh pedagang china ke negara mereka dan dinamakan sebagai ros china ataupun secara latinnya dikenali sebagai rosa-chinensis oleh Carolus Linnaeus (Carl von LinnĂ©, 1707–1778). Di Malaysia, ia dikenali sebagai bunga raya kerana secara linguistiknya perkataan ‘raya’ merujuk kepada sesuatu yang besar yakni saiz bunganya yang besar.

Selaku bunga kebangsaan, bunga raya mempunyai rentetan sejarahnya yang tersendiri. Setahun selepas Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan, yakni pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan 7 jenis bunga untuk dijadikan bunga kebangsaan. Tumbuhan renek yang mudah berbunga ini telah dipertandingkan dengan beberapa spesies bunga yang lain yang terdiri daripada kenanga, melur, teratai ,mawar, cempaka dan bunga tanjung sebelum dinobatkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri ketika itu YTM AL-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra AL-Haj. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuh Malaysia, bunga raya terus digunakan sebagai bunga kebangsaan.

Pemilihan bunga raya terpilih sebagai bunga kebangsaan disebabkan oleh karektor bunganya yang unik dan seiring dengan ciri-ciri negara tercinta. Warna merahnya melambangkan keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran. Sementara lima kelopak atau petal bunganya merujuk kepada lima prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan negara. Kepelbagaian jenisnya menjadi lambang keharmonian kepelbagaian bangsa, agama dan kebudayaan yang ada. Spesies ini dikatakan turut terpilih kerana ianya mudah didapati di seluruh negara.







Sunday, July 31, 2011

Bunga Raya - Keindahan yang berpanjangan

Tanggal 28 julai 2011 yang lalu genaplah usia 51 tahun Bunga raya dinobatkan sebagai Bunga Kebangsaan. Kepekaan terhadap keistimewaan Bunga raya sebagai sebahagian daripada lambang identiti Negara Malaysia mungkin buat masa kini tidak sehebat dahulu. Perubahan sosial yang ketara, kemajuan yang mengelilingi kehidupan, kepelbagaian maklumat untuk dinilai dan ditumpukan, seakan menjadikan Bunga raya bukanlah topik yang menarik untuk dibicarakan. Usaha pihak media massa menyiarkan beberapa segmen khas mengenai bunga raya seharusnya mendapat pujian. Usaha yang baik ini akan lebih berjaya sekiranya turut dilaksanakan oleh media-media penyiaran lain yang popular.

Menyedari akan hakikat ini kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengetengahkan kembali minat masyarakat terhadap tumbuhan yang unik ini. Beberapa rujukan dan pembacaan terhadap artikel-artikel berkaitan bunga raya cukup nostalgic dan menarik untuk diketahui. Selami sebahagiannya di sini…

Beberapa koleksi foto bunga raya




...lagi koleksi bunga raya akan dipaparkan nanti... selamat berpuasa, bertarawih, beribadah....