Bagi membantu mereka yang mencari rujukan di dalam penulisan berkaitan dengan landskap dan penyelenggaraan pokok, pihak kami akan berusaha mengumpul dan menyiarkan kertas-kertas kerja, poster atau nota yang disediakan di dalam kursus/bengkel atau persidangan-persidangan yang dianjurkan. Mereka yang berminat atau merasakan perlu untuk berkongsi kertas kerja mereka kepada pengunjung bolehlah juga berbuat demikian dan sangatlah dialu-alukan. Semoga usaha kecil ini akan membantu para pelajar, guru-guru, pensyarah, mereka yang berkecimpung atau bertugas dalam bidang landskap dan penyelenggaraan pokok bahkan orang ramai dalam memahami dan mendalami bidang ini.
(Artikel ini masih dalam binaan - this article/presentation paper is still under construction)
Tanaman Hiasan – Potensi Keusahawanan
Keusahawanan merupakan salah satu daripada cabang penjanaan pendapatan yang
sedang giat digalakkan oleh pihak kerajaan untuk diceburi oleh para usahawan.
Kepelbagaian bidang perniagaan yang wujud di masa kini memberikan
kelebihan untuk para usahawan memilih bidang yang berpotensi dan diminati untuk
diceburi.
Perniagaan tanaman hiasan
merupakan salah satu daripada bidang yang berpotensi untuk turut diterokai.
Perniagaan ini yang mempunyai cabang-cabangnya yang tersendiri boleh
dibahagikan kepada beberapa bidang-bidang kecil yang lain merangkumi
pengeluaran bahan tanaman, media-media penanaman, pasu-pasuan dan peralatan
hiasan taman lainnya turut berpotensi untuk diusahakan di samping membantu
menjana pendapatan yang tersendiri. Industri perniagaan ini turut membantu
membuka peluang-peluang pekerjaan terutamanya di kalangan pekerja-pekerja tapak
semaian dan industri landskap itu sendiri.
Kertas kerja ini akan menumpukan
kepada tanaman hiasan yang merupakan salah satu cabang utama di dalam penubuhan
sesebuah Tapak Semaian.
Definisi Tanaman Hiasan
Tanaman hiasan merupakan tumbuhan
yang digunakan dengan fungsi tertentu terutamanya atas maksud memperolehi nilai
estatika tumbuhan berkenaan di samping fungsi-fungsi lain yang digunakan di
dalam tujuan penanaman tumbuhan tersebut. Nilai estatika tersebut boleh terdiri
daripada kecantikan atau keunikan rupabentuk (form) keseluruhan atau sebahagian
daripada tumbuhan berkenaan , corak atau rupabentuk daun, batang pokok atau warna bunga mahupun aromanya.
Jenis Tanaman Hiasan
Tanaman hiasan boleh terdiri daripada tumbuhan-tumbuhan yang bersaiz
sederhana atau besar-tegap merimbun malah boleh juga terdiri daripada tumbuhan-tumbuhan
renek yang pelbagai termasuklah yang tumbuh
merimbun, menjalar/merayap ataupun memanjat.
Fungsi dan Peranan Tumbuhan
Hiasan
Terdapat pelbagai fungsi yang boleh disumbangkan oleh tumbuhan hiasan
terutamanya di dalam bidang senitaman ataupun landskap bergantung kepada
spesies dan cara penggunaannya. Secara umumnya pokok-pokok berperanan sebagai penapis udara, air dan bunyi secara semulajadi. Pokok-pokok di kawasan bandar dan taman turut berperanan di dalam menyeimbangkan suhu persekitaran. Pokok-pokok hiasan yang juga membebaskan gas
oksigen ke udara, turut digunakan bagi tujuan-tujuan lain seperti :
- Pokok
Teduhan
- Pokok
Hadangan
- Penunjuk
Arah
- Pelengkap Binaan
- Pokok ameniti yang menghidup dan mencantikkan bandar, taman serta halaman-halaman
- Penyerap gas-gas karbon dioksida , karbon monoksida serta membebaskan ion negatif yang diperlukan oleh manusia
Terdapat sebahagian daripada tumbuhan hiasan ini turut digunakan secara meluas bahkan popular sebagai tanaman hiasan dalaman.
Mengenali spesies-spesies popular.
Adalah wajar untuk mengetahui serba sedikit mengenai spesies-spesies yang sering digunakan di dalam industri landskap bagi memudahkan pengusaha merancang dan membuat pilihan dalam menentukan pengeluaran bahan-bahan tanaman yang berpotensi untuk memberikan pulangan di dalam industri ini. Spesies - spesies yang dinyatakan ini juga bukanlah semestinya akan sentiasa kekal sebagai spesies yang popular tetapi akan turut dipengaruhi oleh trend pemilihan tanaman semasa di samping pengaruh tema, jenis dan lokasi satu-satu skim landskap berkenaan. Keutamaan pemilihan atau penanaman satu - satu tanaman turut dipengaruhi oleh track-record prestasinya, baik dari segi kemudahan penyelenggaraan mahupun peratus kejayaan menanamnya.
Pengusaha tanaman hiasan sebaiknya memahami corak pertumbuhan tanaman-tanaman ini memandangkan adakalanya pihak pelanggan juga akan memerlukan maklumat mengenai pokok berkenaan sebagai panduan untuk mereka memilih tanaman yang sesuai.
Senarai pokok-pokok teduhan dan hiasan yang popular
No.
|
Nama Tempatan
|
Nama Botani
|
1
|
Pokok Hujan-Hujan
|
Entrolobium saman
|
2
|
Pokok Tecoma
|
Tabebuia pentaphylla
|
3
|
Pokok Angsana
|
Pterocarpus indicus
|
4
|
Pokok Jemerlang/Batai Laut
|
Peltophorum pterocarpum
|
5
|
Pokok Bunga Tanjung
|
Mimusops elengi
|
6
|
Pokok Kelat Paya
|
Syszygium campanulatum
|
7
|
Pokok Kelat Jambu Laut
|
Syzygium grande
|
8
|
Pokok Semarak Api
|
Delonix regia
|
9
|
Pokok Kayu Manis
|
Cinnamomum iners
|
10
|
Pokok Bungor
|
Lagerstroemia speciosa
|
11
|
Pokok Kemboja
|
Plumeria sp
|
12
|
Pokok Penaga Lilin
|
Mesua ferrea
|
13
|
Pokok Khaya
|
Khaya senegelensis
|
14
|
Pokok Mambu
|
Melia indica
|
15
|
Pokok Merawan Siput Jantan
|
Hopea odorata
|
16
|
Pokok Kapur
|
Dryobalanops aromatica
|
17
|
Pokok Kiara
|
Filicium decipens
|
18.
|
Pokok Gapis
|
Saraca thaipingensis
|
19
|
Pokok Podo
|
Podocarpus rumphii
|
20
|
Pokok Asoka
|
Polyalthia longifolia’Temple Pillar’
|
Contoh pokok-pokok hiasan/teduhan
Deretan pokok Hopea odorata
Tabebuia pentaphylla
Selain daripada itu terdapat juga spesies spesies tumbuhan renek yang turut
dianggap popular berdasarkan kepada trend penggunaan dan permintaan semasa.
Sebagaimana spesies-spesies tumbuhan teduhan di atas, permintaan terhadap
spesies – spesies ini juga berubah-ubah mengikut trend semasa dan track-record penggunaannya sebelum ini.
Antara spesies-spesies ini termasuklah :
No.
|
Nama Tempatan
|
Nama Botani
|
1
|
Bunga Siantan
|
Ixora coccinea
|
2
|
Bunga Raya
|
Hibiscus Rosa Sinensis
|
3
|
Lidah Jin
|
Sansevieria trifasciata
|
4
|
Bunga sepit udang/Helikonia
|
Heliconia rostrata
|
5
|
Pokok kana
|
Canna generalis
|
6
|
Ophiopogon
|
Ophiopogon jaburan
|
7
|
Puding
|
Codiaeum variegatum
|
8
|
Halia Merah
|
Alpinia purpurata
|
9
|
Setawar
|
Costus speciosus
|
10
|
Jejuang
|
Cordyline fruticosa
|
11
|
Pisang Hiasan (derhaka)
|
Musa ornata
|
12
|
White Sails
|
Spathiphyllum wallisii
|
13
|
Spider lily
|
Hymenocallis speciosa
|
14
|
Bakung
|
Crinum asiaticum
|
15
|
Keladi
|
Dieffenbachia cultivar
|
Pemilihan bahan tanaman ini untuk dikeluarkan secara besar-besaran banyak
dipengaruhi oleh tujuan perniagaan, fokus sebenar pemasaran dan kerjasama rapat
antara pengusaha semaian dengan kontraktor landskap.
Pengeluaran Anak benih pokok
Kaedah pengeluaran anak-anak benih pokok dipengaruhi oleh jenis dan
keperluan percambahan atau kaedah pembiakan yang sesuai. Sebahagiannya
menggunakan teknik penyemaian yang sama dan ada juga menggunakan teknik yang berbeza.
Sesetengah pokok boleh dibiakkan melalui keratan.
Secara umumnya kebanyakan
pokok-pokok boleh disemai menggunakan biji benih. Biji benih yang telah masak
dikutip dan disemai di dalam media berpasir. Siraman ke atas media ini
dilakukan 1 atau 2 kali sehari bagi
mengelak media tersebut menjadi kering.
Mereka yang ingin membiakkan tanaman bagi tujuab membekal anakbenih perlu
merancang pengeluaran anak benih pokok. Ini kerana sesetengan biji benih
mengambil masa yang agak lama untuk bercambah. Biji benih kaum palma contohnya
boleh mengambil masa selama 2-3 bulan untuk bercambah.
Pembiakan menggunakan anak benih liar boleh menjimatkan masa pengumpulan
anak benih. Kaedah keratan juga merupakan kaedah segera untuk membiak anak
benih.
Penyimpanan dan Penjagaan Anak
benih Tumbuhan Hiasan
Boleh menggunakan polibag atau tabung. Polibag atau tabung ini pula mempunyai
saiz yang berbeza-beza. Ianya dijual mengikut timbangan. Boleh juga ditempah
mengikut keperluan. Sering terdapat di tapak-tapak semaian.
Anak benih juga boleh disimpan di dalam pasu. Terdapat pelbagai jenis pasu di pasaran
dengan pelbagai saiz dan rupabentuk. Pasu-pasu boleh terdiri daripada pasu
plastik, pasu tanah liat dan seramik .Harga pasu-pasu berkenaan mempengaruhi
penggunaannya Penggunaan pasu juga perlu disesuaikan dengan jenis dan saiz
pokok.
Anak –anak benih boleh diletakkan di bawah
rumah teduhan atau disimpan di tempat yang terbuka . Pemilihan ruang
penyimpanan ini bergantung kepada jenis anak benih berkenaan.
Penyiraman anak benih perlu dilakukan pada
waktu pagi dan petang. Kawasan persekitaran perlu sentiasa bersih bagi
mengelakkan serangan makhluk perosak. Kawalan makhluk perosak dan penyakit sebaiknya dilakukan secara berkala. Patuhi
jumlah penggunaan bahan-bahan racun sebagaimana yang disyorkan oleh pengeluar.
Pembajaan anak benih
Pembajaan anak benih boleh dilakukan sebulan selepas ianya ditabung atau
dipasukan. Penggunaan baja organik sangat digalakkan selain penggunaan baja
kimia. Pembajaan dilakukan setiap 2 -3 bulan sekali. Pemberian baja adalah
secara sedikit-sedikit dan tidak terlalu rapat kepada pangkal anak benih.
Anak-anak pokok hendaklah terus disiram sebaik sahaja selesai aktiviti membaja.
Anak benih yang telah dewasa sebaiknya digantikan dengan polibag atau pasu-pasu yang baharu
dengan saiz yang lebih besar.
Selain daripada itu penyertaan di dalam bidang semaian boleh menggalakkan
ramai pembekal-pembekal sampingan turut menawarkan perkhidmatan masing-masing. Para usahawan hendaklah mempunyai hubungan
baik dengan para pembekal ini bagi memperolehi kemudahan kredit terutamanya
penyimpanan stok bahan tanaman atau setidak-tidaknya menawarkan bekalan segera
apabila diperlukan
Penutup
Mengusahakan bidang jualan tanaman hiasan banyak dipengaruhi oleh minat,
kemahiran dan perancangan yang teratur. Persiapan untuk mengadakan semaian
bahan tanaman hiasan perlu mengambil kira faktor-faktor keperluan dan
permintaan jualan, persaingan, networking sesama mereka yang berkecimpung di dalam bidang ini dan berkaitan, pengiklanan dan kepelbagaiam bidang
yang berkaitrapat dengan perniagaan tanaman hiasan. Pengusaha bidang pengeluaran anak benih tumbuhan hiasan turut perlu memastikan produk-produk keluaran mereka mematuhi standard-standard pengeluaran bahan tanaman bagi memastikan tanaman yang ditanam nanti di lapangan terdiri daripada tanaman-tanaman yang berkualiti.
Nota untuk pembaca/pengunjung blog ini :
Kertas kerja ini telah dibentangkan dan dijadikan nota
kursus bagi Kursus landskap dan Penyelenggaraan Pokok , 1- 3 November 2011,
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Kertas kerja ini boleh dirujuk dengan penyataan berikut :
· MOHD AFENDI, H. Tanaman Hiasan - Potensi Keusahawanan. Kertas kerja dibentangkan di dalam Kursus Landskap dan Penyelenggaraan Pokok, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, 1 – 3 November 2011.