Sunday, October 28, 2012

Flowering shrubs


Foto-foto yang boleh dijadikan rujukan segera samada melalui tablet, smartphone dan pelbagai.







Duranta 'Sweet Memory'



Turnera subulata


Turnera ulmifolia


Ixora 'Dwarf Orange'



Ixora 'Dwarf Pink'



Ixora 'Dwarf Yellow'



Thai Jasmine or Wrightia antidysenterica




Thai Jasmine or Wrightia antidysenterica







Looking for alocasias and caladiums.. click here
orchids lovers...drop by here

Orkid itu Cantik!

Pening juga kalau asyik post artikel yang serius atau mempunyai banyak fakta. Kali ni nak beralih ke orkid pulak. Boleh tambah rupa seri blog ini.

Taklah familiar sangat dengan orkid-orkid ni. Sekadar nak share koleksi foto yang ada. Mungkin mana-mana penggemar orkid yang singgah di sini boleh tambah koleksi foto dan rujukan mereka. Sapa-sapa yang tau nama - nama orkid ni boleh emel lah ya..





















































Saturday, October 27, 2012

Pokok dan Ruang Penanaman

Trees - Give them a space!

Penanaman yang baik yakni menggunakan teknik atau kaedah penanaman yang disyorkan sepatutnnya boleh menghasilkan tanaman yang tumbuh dengan baik. Walaubagaimanapun adakalanya masih wujud juga kegagalan untuk melihat pokok yang ditanam ini tumbuh dengan sempurna kerana wujudnya faktor lain yang dinamakan RUANG.

Ruang bagi pokok untuk membesar amat mempengaruhi prestasi pertumbuhan pokok terutamanya dalam jangkamasa panjang. Ruang yang sempit boleh menghadkan tumbesaran akar dan mengganggu pokok berkenaan untuk terus membesar. Ruang yang sempit juga boleh menyebabkan kesulitan lain berlaku seperti kerosakan struktur longkang, laluan pejalan kaki bahkan jalanraya juga boleh  menjadi rosak sekiranya terdapat rekahan, yang membolehkan akar-akar kecil memasukinya dan membesar.

Pokok yang baru ditanam tidak akan berada di dalam saiz asal ianya ditanam. Ia merupakan benda hidup yang akan terus membesar.


(foto above : Its too close to the road and the root zone is too small. It will grow for a while. Once the branch start growing, it will become nuisance to vehicles)

Pokok yang ditanam, terutamanya pokok teduhan ataupun pokok pinggiran jalan - bukanlah ditanam atas dasar untuk  memenuhi syarat. Pokok -pokok ini ditanam setelah pelbagai pertimbangan dibuat dan difahami bahawa kemajuan berbentuk struktur keras semata-mata tidak membawa kita ke hadapan. Ianya dicadang untuk ditanam untuk memberi keselesaan kepada warga pengguna. Warga pengguna ini pula boleh terdiri daripada mereka yang berulang-alik secara berjalan kaki di kawasan bandar, kalangan pekerja yang menuju ke pejabat atau ke stesen kemudahan kenderaan awam, kaum pelajar yang berjalan ke kelas atau bangunan pengajian mereka bahkan mereka yang tidak ingin menunggu di bawah panas terik mentari. Agak aneh untuk seorang jiran yang terpaksa memandu ke rumah tetangga mereka yang hanya tinggal selang  4  atau  5 buah rumah semata -mata kerana tiada sebatang pokok pun sepanjang perjalanan tersebut!

Menyediakan ruang untuk pokok tumbuh dengan baik merupakan keperluan. Ruang yang minima 3' lebar (1m lebar) bukan lagi trend terkini. Kita telah melalui zaman menyediakan ruang atau bahu-bahu jalan yang sempit yang menghadkan pokok-pokok untuk membesar dengan baik. Jarak yang lebih lebar diperlukan sekurang-kurangnya 2m lebar bagi dijadikan koridor landskap yang baik.

Mereka yang merancang penanaman seharusnya mempertimbangkan jumlah ruang yang diperuntukkan untuk pokok berkenaan tumbuh dan memberikan fungsinya. Pemahaman tentang bagaimana rupabentuk serta saiz pokok berkenaan apabila matang boleh membantu di dalam perancangan awal pembangunan bagi menentukan luas kawasan atau koridor yang sesuai untuk pertumbuhan pokok.






Ruang tumbesaran yang kecil serta pemilihan pokok yang kurang berkualiti menyebabkan fungsi pokok ini ditanam -  tidak dapat diperolehi oleh pengguna. Mulakan langkah baru, rancang dengan lebih teliti dan bersepadu bagi memastikan negara yang kita diami mewarisi pokok-pokok yang berkualiti.

avoid providing limited space for tree to grow. They wont last long. Start planning and understanding too. Look for an arborist for your assistance.








Tips  :

1. Ruang yang kecil - pertimbangkan jenis spesies yang bakal ditanam. Tanam pokok bersaiz kecil atau sederhana.

2.  Akar memasuki ruang yang mengandungi air dan udara. Binaan struktur seperti longkang sekiranya tidak sempurna yakni mempunyai rekahan dan retakan boleh menyebabkan akar menyelinap masuk dan membesar. Perhatikan pokok yang ditanam di dalam palong (kerek perigi) akarnya berpintal di dalam palong itu sahaja.

3. Selain mendapatkan air dan makanan, akar pokok juga memanjang untuk menstabilkan kedudukan pokok atau memegang pokok.



Artikel oleh mytaman
Layari dunia taman anda di http://mytaman-ilhamnurani.blogspot.com/



Artikel lain yang berkaitan :

Benarkah menanam semudah ABC?
Penanaman pokok
Penyediaan tapak penanaman


Sunday, March 18, 2012

Penanaman Pokok


Penghantaran anak benih pokok dan persiapan penanaman

Penanaman pokok bermula dengan proses penghantaran. Anak-anak pokok yang dihantar perlu disusun dan dipelihara supaya tidak rosak semasa proses penghantaran. Pokok yang telah dimasukkan ke dalam lori sebaiknya bertutup bagi mengelakkannya rosak akibat rempuhan angin semasa di dalam perjalanan. Pastikan anak benih yang dipilih untuk dihantar mempunyai daun yang telah tua dan bukannya berpucuk muda. Pokok yang berpucuk muda lebih senang untuk rosak berbanding daun-daun yang telah matang. Elakkan juga memilih anak pokok yang baru ditukar ke dalam polibeg yang lebih besar. Perhatikan pada media di dalam polibeg berkenaan bagi memastikan tanahnya masih baharu. Tanah yang masih baharu mudah terlerai semasa proses penanaman nanti.

Proses penghantaran akan melibatkan perancangan. Rancanglah supaya anak-anak pokok dapat dihantar pada awal pagi atau melalui perjalanan pada waktu malam bagi mengurangkan kesan panas terik matahari dan juga kesesakan.

Pokok ataupun anak benih yang telah sampai di lapangan perlu segera diturunkan. Terdapat beberapa persiapan awal termasuk menyediakan kawasan simpanan sementara bagi menyelaras dan mempercepatkan proses menurunkan pokok. Pokok yang diturunkan sebaiknya disusun secara menegak. Elakkan daripada membaringkan pokok terlalu lama. Bergantung kepada kuantiti anak benih yang dihantar, anak-anak benih ini tidak semuanya mampu ditanam dalam tempoh satu hari. Justeru, memastikan pokok berada dalam keadaan yang mudah untuk dijaga akan membantu mengurangkan tekanan ataupun stress terhadap pokok berkenaan. Anak-anak pokok terutamanya yang agak tinggi (sekitar 2m - 4m) tidak boleh dibiarkan berdiri tegak tanpa sebarang sokongan. Kelalaian mengikatnya pada lokasi susunan/simpanan boleh mengakibatkannya terjatuh atau tumbang akibat ketidakseimbangan ataupan tiupan angin. Kelalaian ini juga boleh mengakibatkan dahan atau ranting pokok berkenaan menjadi patah. Pokok - pokok yang telah disusun ini kemudiannya sedia untuk ditanam.


nota:
Adalah sukar untuk menyelenggara anak-anak pokok ataupun bahan tanaman ini bila disimpan dengan cara membaringkannya.
Penyiraman juga tidak akan berkesan kerana berada di dalam kedudukan yang sukar begini
Pokok-pokok ini perlu ditanam dengan kadar seberapa segera


Sesetengah anak pokok tumbuh agak besar di dalam polibeg dan sebahagian daripada akarnya telah masuk ke dalam tanah. Sekiranya keadaan ini berlaku dan anak pokok ini dipilih untuk ditanam maka pokok berkenaan(yang diputuskan akar yang masuk ke dalam tanah)perlu menerima siraman yang banyak bagi mengurangkan kesan kejutan penanaman ataupun planting shock.


Penanaman pokok bersaiz sederhana (ketinggian 1m - 4m)

Secara umumnya aktiviti penanaman perlu berasaskan 'right tree at a right place". Penanaman juga perlu mempunyai tujuannya yang jelas. Berikut merupakan panduan ringkas bagi melaksanakannya :


1. Sediakan lubang penanaman bersaiz 3 kali lebih besar daripada bebola akar.

Bergantung kepada kualiti tanah di tapak penanaman, saiz lubang tanaman sebaiknya 3 kali lebih lebar berbanding saiz bebola akar. Namun bagi tanah yang bermasalah contohnya berbatu batan ataupun terlalu mampat, lubang penanaman sebaiknya dilebarkan sehingga 5 kali lebih lebar daripada saiz bebola akar tanaman tersebut bagi membantu pertumbuhan pokok yang lebih baik untuk masa akan datang.


Saiz lubang tanaman bagi kawasan yang bermasalah, berbatu-batan atau mempunyai kandungan liat yang tinggi hendaklah sekurang-kurangnya 2m (panjang) x 2m (lebar) x 1m (kedalaman).

Penyediaan lubang penanaman boleh berbentuk seakan kuali yakni melebar pada bahagian tepi sementara kedalamannya memadai sama dengan ketinggian bebola akar.


2. Pilih anak benih yang sihat, berbatang tegap serta mempunyai akar yang tidak berpintal dengan bentuk silara yang seimbang. Bawa anak benih berdekatan dengan tapak ataupun lubang penanaman.

3. Pastikan terlebih dahulu kedudukan root-collar pokok. Ukur ketinggian bebola akar pokok berkenaan dan sukat ketinggian yang sama pada kedudukan tengah lubang tanaman. Sekiranya lubang tanaman terlalu dalam , selaraskan ketinggian ini dengan memasukkan kembali media penanaman dan begitulah sebaliknya.




4. Buka polibeg pokok berkenaan dengan cara membuat potongan pada bahagian tapak polibeg terlebih dahulu.

5. Masukkan anak benih ke dalam lubang tanaman dan posisikan dalam keadaan menegak di bahagian tengah lubang penanaman. Pastikan paras root-collar pokok ini berada sama paras dengan tanah asal (ground level) atau berada di kedudukan yang tinggi sedikit (2 cm - 4 cm lebih tinggi dari paras asal tanah). Buka keseluruhan polibeg yang membalut bebola akar.

Lubang penanaman sebaiknya mempunyai kedalaman yang sama dengan ketinggian bebola akar. Sekiranya lubang penanaman disediakan terlalu dalam (tidak digalakkan) maka media penanaman akan dimasukkan terlebih dahulu bagi menyelaras ketinggian bebola akar. Jika keadaan ini berlaku, pastikan kedudukan root collar berada lebih tinggi dengan mengambilkira tanah yang disi tersebut menjadi mendap dan padat selepas menerima siraman dan akibat berat pokok yang ditampung oleh media berkenaan.


6. Masukkan media penanaman di sekeliling bebola akar hingga mencapai separuh ketinggian bebola akar berkenaan dan dengan berhati-hati, tekan tanah berkenaan agar lebih padat pada keliling bebola akar.

7. Masukkan media penanaman hingga penuh dan padat-padatkan di sekeliling bebola akar berkenaan.

Secara umumnya sebaik - baik media tanaman ialah media asal lubang tanaman tersebut yang digali. Namun sekiranya media asal ini didapati boleh menghalang perkembangan akar maka media berkenaan perlu dibuat penambahbaikan melalui penggunaan tanah yang lebih subur atau melalui campuran tanah yang sesuai termasuklah dengan menggunakan bahan-bahan pengelok tanah (soil conditioner).

Kadar campuran tanah yang disyorkan ialah : 3 : 2 : 1 (Tanah : Pasir : Kompos)

kadar-kadar ini perlu disesuaikan mengikut keadaan tanah di kawasan penanaman.


8. Pasangkan kayu sokongan (sekiranya perlu)

Pemasangan kayu sokongan perlu dilakukan sebaik sahaja penanaman itu selesai. Keadaan ini sangat penting terutamanya pada pokok-pokok yang ditanam pada saiz yang besar ataupun tinggi. Secara umumya pokok tidak digalakkan untuk disediakan kayu penyokong lebih-lebih lagi pokok yang ditanam pada saiz yang kecil ( ketinggian kurang daripada 1m ). Walaubagaimanapun berdasarkan tiupan angin yang tidak menentu dan agak kuat, boleh menyebabkan pokok-pokok yang ditanam menjadi tumbang dan rosak.


9. Siram secukupnya.

10. Laksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok.



artikel disediakan oleh mytaman



Sunday, February 26, 2012

Penyediaan Tapak Penanaman

(... sambungan siri penanaman pokok)




Telah menjadi satu kebiasaan di kalangan mereka yang ingin menanam pokok untuk menggunakan istilah menyediakan "lubang tanaman" bagi kerja-kerja menanam pokok. Namun hakikat sebenarnya penanaman bukanlah sekadar menyediakan "lubang tanaman". Penanaman memerlukan penyediaan dan pertimbangan keseluruhan kawasan tapak penanaman terbabit. Lubang penanaman merupakan sebahagian daripada penyediaan tapak penanaman ini.

Ini bermakna, kita bukanlah menyediakan sebuah lubang untuk dimasukkan pokok sahaja, sebaliknya kita mempertimbangkan, menilai keadaan tapak penanaman dan menyediakan satu keadaan yang paling baik untuk pokok berkenaan untuk tumbuh dengan sempurna.

Penilaian awal yang perlu diambilkira ialah kesesuaian lokasi. Pilihlah lokasi yang berasakan kepada prinsip " right tree at a right place". Justeru bagi anda mahupun mereka yang merancang kerja-kerja penanaman, sebaiknyalah kita melawat tapak-tapak penanaman terlebih dahulu dan kemudiannya menilai kualiti tanah, kesesuaian kawasan, kecerunan, saiz ruang dan pelbagai faktor lain seperti jarak struktur berdekatan , laluan angin bahkan arah matahari yang boleh mempengaruhi kejayaan penanaman dan menjadikan fungsi penanaman tersebut tercapai.


Kualiti tanah

Kualiti tanah sangat mempengaruhi kejayaan sesuatu penanaman. Di kawasan bandar (terutamanya) atau taman-taman perumahan, tidak semua tanah penanaman merupakan tanah yang mempunyai kualiti yang sama sebagaimana tanah kebun di kawasan kampung. Tanah yang dikhususkan atau dipilih untuk penanaman, kebanyakannya boleh terdiri daripada tanah yang subur, sederhana subur ataupun tidak subur sama sekali. Sesetengah tapak penanaman boleh terdiri daripada kawasan bukit yang telah dipotong atau tapak yang telah dipadatkan dengan tanah liat yang samasekali tidak sesuai untuk digunakan sebagai tanah penanaman.





nota :
Kualiti tanah yang tidak elok seperti terlalu banyak kandungan liat boleh menghasilkan lubang tanaman yang tidak poros. Air yang terkumpul tidak dapat menyerap masuk ke dalam tanah.






Terdapat juga di sesetengah kawasan, tapak penanamannya boleh terdiri daripada kawasan berpasir ataupun berbatu-batan. Tanah yang sedemikian biasanya dikategorikan sebagai kurang atau tidak berkualiti bagi tujuan penanaman dan memerlukan pengubahsuaian saiz lubang penanaman di samping pengubahsuaian terhadap media tanaman. Penggunaan saiz lubang tanaman yang lebih besar di samping penggunaan bahan pengelok tanah (soil conditioner) merupakan antara beberapa kaedah yang boleh membantu memastikan kejayaan penanaman nanti.

nota :
Foto di sebelah menunjukkan lubang penanaman yang kandungan tanah di tapak penanaman ini terdiri daripada tanah yang berbatu batan serta liat. Penyediaan lubang penanaman yang kecil memberi ruang yang terhad kepada tumbesaran akar pokok. Keadaan ini boleh menyebabkan pokok berkenaan menjadi terbantut tumbesarannya.




nota:

Terdapat juga tapak penanaman yang mempunyai tanah liat yang berlapis-lapis, berketul-ketul dan tidak poros. Pengubahsuaian media tanaman ataupun penggantian penggunaan media penanaman yang baru diperlukan dalam kuantiti yang banyak bagi memastikan kejayaan penanaman.





Saiz lubang penanaman

Secara umumnya tidak ada saiz lubang yang tepat bagi kerja-kerja menanam. Namun terdapat panduan mudah yang boleh digunakan bagi penyediaan lubang penanaman. Saiz lubang penanaman bergantung kepada saiz bebola akar pokok yang hendak ditanam. Semakin besar bebola akar , maka semakin besarlah lubang penanaman yang perlu disediakan. Kadar saiz lubang penanaman berbanding bebola akar yang disyorkan ialah 3:1

Ini bermakna lubang penanaman hendaklah bersaiz 3 kali ganda lebih lebar daripada saiz bebola akar yang hendak ditanam. Namun begitu, sekiranya terdapat

i. kekangan (limitation) untuk menyediakan saiz berkenaan, atau
ii. tapak penanaman tersebut merupakan kawasan yang secara semulajadinya subur

maka saiz lubang tanaman sekurang-kurangnya hendaklah 2 kali ganda lebih lebar daripada saiz bebola akar pokok yang hendak ditanam. Kadar ini turut sesuai untuk tanaman-tanaman kecil ataupun shrubs.

Bagi tujuan penyelarasan dan bagi memudahkan kerja-kerja pengiraan kos, lubang-lubang tanaman selalunya diberikan ukuran. saiz-saiz seperti 1m padu atau 1m x 1m x 1m merupakan saiz standard yang banyak digunakan oleh kebanyakan Arkitek Landskap ataupun mereka yang bertugas mengendali atau menyelia penanaman. Penggunaan saiz lubang ini agak kecil dan tidak begitu sesuai terutamanya di kawasan bandar ataupun kawasan-kawasan yang baru dibuat pembangunan. Secara logiknya kawasan yang baru dibangunkan memerlukan tapak yang telah dipadatkan. Keadaan tanah yang padat sama sekali tidak sesuai untuk tumbesaran pokok (Soil compaction normally high within construction area and unsuitable for tree planting). Justeru menyediakan saiz lubang penanaman yang lebih besar seperti 2m lebar x 2m lebar dengan kedalaman 1m adalah lebih bersesuaian.


Bentuk lubang penanaman

Lubang penanaman tidak semestinya berbentuk segiempat sama atau segiempat tepat!
Bentuk bulat merupakan bentuk yang terbaik bagi penyediaan lubang penanaman. Dinding lubang penanaman tak semestinya binaan yang lurus tegak umpama kotak. Ia boleh terbentuk dengan keadaan yang tidak sekata, tidak licin bahkan tidak menarik. Penyediaan dinding lubang tanaman yang sedemikian akan memudahkan lagi penyebaran akar tanaman. Akar yang dapat merebak dengan baik akan membantu pertumbuhan pokok yang lebih subur dan stabil.


Kaedah penyediaan tapak penanaman




Tapak penanaman boleh disediakan dengan menggunakan jentera (JCB) ataupun manual bergantung kepada kualiti tanah dan saiz tapak penanaman yang diperlukan. Terdapat juga jentera yang menggunakan auger bersaiz besar (berjenama) yang praktikal bagi tujuan menyediakan lubang penanaman. Jentera ini lebih ringan berbanding JCB dan skop penggunaan mungkin terhad bagi kerja-kerja pengangkutan bahan tanaman yang besar berbanding JCB. Kelebihan dan limitasi pemilihan jentera perlu dinilai oleh mereka yang akan menggunakannya nanti. Penanaman secara manual tidak praktikal di kawasan berbatu batan ataupun bertanah keras.









Artikel oleh mytaman
Layari dunia taman anda di http://mytaman-ilhamnurani.blogspot.com/

Artikel lain yang berkaitan :

Monday, February 6, 2012

Penanaman Pokok

Fasa kedua :

Proses Penanaman :

Pemilihan spesies, penyediaan tapak penanaman dan penanaman

Adalah lebih baik sebelum penanaman dilakukan kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai pokok yang bakal kita tanam. Ini disebabkan karektor atau rupabentuk pokok berkenaan semasa kecil tidak sama apabila ia menjadi dewasa. Pokok akan tumbuh dengan sifat dan karektor semulajadinya. Ada yang tinggi. Ada yang sederhana tinggi dan ada yang kecil. Ada juga yang menirus dan ada juga yang merendang. Kealpaan dan sikap ambil mudah tanpa mempertimbangkan saiz pokok tersebut apabila menjadi dewasa boleh mengundang masalah dan berkemungkinan juga risiko lain. Usaha kita memahami sifat pokok akan membantu pokok-pokok ini untuk tumbuh dengan baik dan dapat pula memberi fungsi yang kita inginkan. Sekiranya anda kurang pasti dengan pokok yang anda ingin tanam, anda bolehlah bertanyakan kepada Arborist yang sediada.

Perhatikan gambarajah anakbenih/bibit di bawah. Terdapat anak-anak benih pokok yang tumbuh samada dengan satu batang utama (single leader: A) ataupun tumbuh dengan dua batang utama (co-dominant : B) ataupun berbilang batang (multiple/forking stem : C). Hanya anak benih yang mempunyai single leader(A) atau satu pucuk utama sahaja yang sesuai untuk tujuan penanaman. Keadaan ini sangat sesuai bagi kalangan spesies yang mempunyai silara matang berbentuk kun atau conical atau mempunyai karektor pertumbuhan dengan satu batang utama seperti merawan, tecoma, pulai,penaga lilin, jelutong dan juga Bucida.











Anak-anak benih yang mempunyai percabangan yang berbilang dan co-dominant, boleh dirawat melalui pemangkasan sebagaimana yang ditunjukkan oleh gambarajah di bawah :



Gambarajah menunjukkan bagaimana anak benih yang mempunyai 2 batang utama dirawat melalui kaedah pemangkasan yang dikenali sebagai structural pruning. Selain mempraktikkan structural pruning semasa di peringkat tapak semaian, pemangkasan structural pruning juga sangat perlu untuk dipraktikkan di awal penanaman.



Penanaman pokok bermula dengan pemilihan anak benih. Pilihlah anak benih pokok yang sihat, tumbuh dengan tegak, berbatang kuat dengan cabang-cabang yang sempurna. Elakkan memilih anak-anak benih yang mempunyai cabang co-dominant ataupun bercabang dua dari peringkat kecil lagi. Sekiranya pokok ini anda perlukan juga , pastikan cabang-cabang yang lemah, bergesel, bengkok dipotong terlebih dahulu. Hanya satu cabang utama sahaja dikekalkan untuk pertumbuhan struktur pokok yang baik. Pastikan juga anak benih yang anda pilih tidak mempunyai akar yang bergulung atau berpintal.

Bagi memastikan percabangan pokok ini terbentuk dengan baik, pilihlah anak benih yang mempunyai keadaan cabang yang baik. Cabang-cabang ini perlu diurus agar berada pada jarak yang sesuai untuk perkembangan pokok pada masa akan datang.




Berikut merupakan contoh pokok-pokok yang separa matang tetapi ditanam dari peringkat awal/kecil dengan pemilihan kualiti yang rendah. Elakkan dari menanam pokok sedemikian bagi mengelak risiko dan mengurangkan kesulitan menguruskannya semasa besar nanti.






Gambarajah menunjukkan penanaman pokok yang telah dilaksanakan menggunakan kalangan anak benih yang tidak berkualiti terutama darisegi strukturnya. Kawalan awal terhadap keadaan ini boleh dilaksanakan menggunakan kaedah pemangkasan yang betul.




Elakkan daripada menanam pokok yang cedera atau rosak pada mana-mana bahagian anggotanya. Anggota yang cedera dan terdedah boleh menjadi punca kepada pereputan atau decay selain serangan-serangan penyakit.




Pilihlah tanaman yang seimbang dari segi silara dan percabangannya. Anak benih yang dipilih juga perlu mempunyai jumlah akar yang seimbang berbanding silara serta akarnya tidak bergulung. Pokok akan terbantut pertumbuhannya, tidak sihat dan mudah tumbang sekiranya ditanam dengan keadaan akarnya yang berpintal.





Selain pemilihan anak benih, pemilihan spesies pokok juga merupakan antara faktor yang banyak mempengaruhi kejayaan fungsi tanaman tersebut ditanam dan bertahan lama. Pemilihan spesies pokok hendaklah disesuaikan dengan konsep “right tree - right place”.

Tidak semua pokok sesuai untuk semua tempat. Luas kawasan atau ruang yang disediakan mempengaruhi jenis pokok yang bakal ditanam. Pengaruh ruang penanaman terhadap pokok sangat dan terlalu berkadar terus. Lebih luas ruang untuk pokok membesar maka lebih baik untuk pokok berkenaan. Pokok memerlukan ruang untuknya membesar dan berkembang. Tambah-tambah lagi pokok yang sifatnya merendang dan sering menjadi pokok-pokok pinggiran jalan. Ini bermakna juga penanaman yang terlalu rapat boleh mengundang masalah persaingan ruang antara satu sama lain.




Artikel ini disediakan oleh mytaman

anda seharusnya melihat artikel terdahulu yang berkaitan dengan artikel ini di bawah tajuk penanaman pokok. sila klik di sini.





Benarkah menanam pokok semudah ABC ?
Memang benar, kerana dari segi teorinya , kerja-kerja penanaman pokok kelihatan mudah dan ringkas. Namun hakikatnya penanaman pokok juga memerlukan sedikit kefahaman mengenai keperluan dan kesesuaian untuk pertumbuhan pokok berkenaan.
Penanaman pokok boleh dibahagikan kepada 3 fasa :
Fasa pertama :
Membuat pertimbangan awal dan memahami keperluan menanam
Fasa kedua :
Proses penanaman – Pemilihan spesies, penyediaan tapak penanaman dan penanaman
Fasa ketiga :
Proses menjaga atau memelihara pokok berkenaan.

Pertimbangan Awal – memahami keperluan menanam
Pertimbangan awal yang dimaksudkan di dalam fasa pertama merujuk kepada keperluan untuk menanam pokok itu sendiri. Penanaman pokok bukanlah dilakukan kerana ramai orang telah melakukannya sebaliknya ia dilakukan dengan kesedaran dan tanggungjawab melaksanakan amanah Allah untuk memelihara alam sekitar.
Pokok ditanam atas maksud mengagumi kebesaran kejadian Tuhan yang telah menjadikannya terdahulu daripada kita. Menanamnya merupakan sedekah. Sedangkan sedekah adalah ibadah (perbuatan baik/berbuat kebaikan) dan perbuatan baik pula disukai Allah. Bahkan Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

"Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan dari tanaman tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, apa yang dicuri dari tanamannya tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, tidaklah seseorang merampas tanamannya melainkan bagi penanamnya menjadi sedekah.” (HR. Muslim)
Galakan melaksanakan perbuatan baik ini (antaranya melalui peluang melaksanakan penanaman) diberi kesempatan hingga pada saat-saat akhir melalui maksud hadis berikut :
“Jika tiba waktunya hari Kiamat sementara di tanganmu masih ada biji kurma, maka tanamlah segera” (HR. Ahmad)


Kehadiran pokok mempunyai fungsi tersendiri yang cukup penting buat penghuni dunia. Bukankah pokok membebaskan gas oksigen untuk kehidupan, menyimpan karbon bagi mengurangi kesan rumah hijau dan “heat island” di kawasan bandar, bahkan memberikan redupan untuk naungan lantas menjadikan persekitaran lebih sejuk dan selesa. Pokok turut menjadi sumber makanan yang sempurna malah membekal bahan asas utama dalam industri pembinaan termasuk juga untuk bidang farmasutikal.
Penanaman pokok juga perlu dilakukan atas keperluan untuk memenuhi beberapa fungsi. Walaupun ramai yang melihat kepentingan penanaman pokok dari sudut aestatik atau kecantikan (rupa bentuk kanopi atau bunganya) sahaja. Namun secara tidak kita sedari, kecantikan dan keindahan tersebut turut bertindak sebagai penawar dalam menyalurkan keperluan ketenangan kepada pemikiran individu yang menghayatinya. Pemikiran yang lebih tenang pula akan membantu kita untuk membuat pertimbangan atau keputusan-keputusan yang lebih baik dan rasional.



Kehadiran pokok turut membantu memulikan mereka yang dirawat dengan lebih cepat. Memetik hasil kajian yang pernah dilakukan -"In laboratory research, visual exposure to settings with trees has produced significant recovery from stress within five minutes, as indicated by changes in blood pressure and muscle tension."—Dr. Roger S. Ulrich Texas A&M University ; menunjukkan bahawa kewujudan ruang dengan hiasan pokok turut berkesan di dalam memulihkan tekanan. Kewujudan elemen terapi ini mendorong ahli-ahli landskap untuk melahirkan rekabentuk taman yang berkonsepkan ‘healing garden’ bagi tujuan menggalakkan penyembuhan penyakit. Bapa kepada bidang Arborikultur Moden– Dr. Alex Shigo pernah menulis " A city without trees is not worth living in" menunjukkan semaju mana sekalipun kita membangun, kewujudan pokok tetap relevan. Bukankah pokok juga menghidupkan bandar, tempat di mana kita bekerja, beriadah dan tinggal?
Selain memahami keperluan menanam, beberapa pertimbangan juga perlu diambilkira. Antaranya:
i. Apakah spesies yang ingin kita tanam? Bagaimanakah rupa bentuk dan juga saiznya?
ii. Bagaimana dengan rekod atau prestasi kejayaan penanaman pokok berkenaan?.Bagaimana pengalaman mereka yang pernah menanam dan menjaganya?
iii. Di manakah lokasi penanaman dan apakah ruang tersebut sesuai untuk pertumbuhannya?
Maklumat-maklumat begini, meskipun nampak remeh namun cukup berguna untuk memastikan kejayaan menanam. Mengenali pokok yang ingin kita tanam setidak-tidaknya akan memudahkan kita memilih dan menentukan lokasi yang sesuai untuknya. Ia membantu kita mengatur jarak penanaman yang lebih tepat malah dapat mengelakkan kemungkinan negatif yang mungkin terhasil akibat penanaman.
Anda kini semakin hampir untuk memulakan penanaman. Ikuti langkah seterusnya mengenai cara-cara membuat pemilihan spesies. Tanamlah pokok untuk kini dan masa hadapan.


Artikel oleh mytaman



Anda juga mungkin berminat untuk mengikuti artikel berikut :


Penyediaan tapak penanaman
Pokok dan ruang
Pokok teduhan dan hiasan