Monday, August 25, 2014

Pengenalan landskap






Bagi membantu mereka yang mencari rujukan di dalam penulisan berkaitan dengan landskap dan penyelenggaraan pokok, pihak kami akan berusaha mengumpul dan menyiarkan kertas-kertas kerja, poster atau nota yang disediakan di dalam kursus/bengkel atau persidangan-persidangan yang dianjurkan. Mereka yang berminat atau merasakan perlu untuk berkongsi kertas kerja mereka kepada pengunjung bolehlah juga berbuat demikian dan sangatlah dialu-alukan. Semoga usaha kecil ini akan membantu para pelajar, guru-guru, pensyarah, mereka yang berkecimpung atau bertugas dalam bidang landskap dan penyelenggaraan pokok bahkan orang ramai dalam memahami dan mendalami bidang ini. 








Hubungi mytamanilhamnurani@gmail.com untuk keterangan lanjut.





__________________________________________






Pengenalan Landskap






Pendahuluan

Boleh dikatakan ilmu tentang landskap merupakan cabang seni dan profesion yang mula diminati semenjak awal 70an di negara kita.  Bidang Senibina Landskap merupakan satu profesion yang memerlukan kefahaman saintifik dan seni dalam mewujudkan alam bina bagi penghidupan manusia. Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1995 (pindaan), telah menekan peri pentingnya peranan yang akan dimainkan oleh bidang landskap dalam proses pemajuan. Malah Jabatan Landskap Negara yang diwujudkan oleh kerajaan turut tertubuh atas sebab kesedaran ini. Pihak berkuasa perancang tempatan di Malaysia memandang serius terhadap pentingnya pelan-pelan landskap dikemukakan bagi mana-mana projek yang hendak dimajukan sebelum kebenaran menjalankan kerja-kerja tanah dimulakan.


Apakah yang dimaksudkan dengan senibina landskap?


Landskap lebih merupakan pemandangan luar atau permukaan bumi, terhasil daripada keadaan semulajadi ataupun binaan manusia. Secara mudah landskap membawa maksud apa yang kita lihat atau menjadi pemandangan kepada kita. Senibina landskap dimaksudkan sebagai bagaimana anda menguruskan alam sekitar kurniaan Tuhan dan memberinya semula untuk kegunaan manusia. Ianya membabitkan keseimbangan antara pembangunan fizikal dengan kelestarian alam semula jadi. Bidang ini adalah satu bidang profesional. Setaraf dengan bidang-bidang lain seperti arkitek, kejuruteraan, doktor, peguam dan sebagainya. Mereka yang berkecimpung di dalam bidang landskap kini adalah golongan profesional yang dilihat sebagai antara golongan ataupun aset terpenting negara. Tanggungjawab mereka bukanlah sekadar menanam pokok, malah menggabungkan elemen teknologi tanpa  meminggirkan kepentingan ekologi yakni alam sekitar. Landskap yang juga disebut sebagai senihias taman sebenarnya membolehkan perancangan ruang kehidupan dibuat untuk meningkatkan kualiti hidup manusia. Seni bina landskap merupakan profesion yang mementingkan nilai budaya dan agama masyarakat setempat.


Perlandskapan

Perlandskapan ataupun landscaping merupakan satu bidang atau cabang seni kreatif yang didokong dengan pengetahuan sains bertujuan untuk melahirkan ruang luar yang berkualiti. Ianya mengolah pemandangan dan ruang menggunakan unsur asli dan binaan supaya lebih berfungsi dan menarik. Ianya turut membawa maksud satu proses melibatkan kegiatan merancang, merekabentuk, melaksana serta menguruskan landskap untuk keselesaan, keselamatan dan keseronokan manusia di samping menjadikan ruang atau suasana tersebut indah dan harmoni dengan persekitaran semulajadi.


Komponen Landskap

Apabila berbicara mengenai landskap maka amatlah ketara untuk kita turut ketahui bahawa sebenarnya landskap terbahagi kepada dua komponen. Komponen-komponen ini dinamakan atau dikenali sebagai landskap kejur dan juga landskap lembut.


Landskap Lembut
Landskap lembut merupakan seni binaan landskap yang membabitkan penggunaan tumbuh-tumbuhan atau pokok. Tumbuh-tumbuhan ataupun pokok ini terbahagi pula kepada dua sub-komponen yang dikenali sebagai tumbuhan primer dan tumbuhan sekunder. Tumbuhan primer meliputi kalangan tumbuhan seperti pokok-pokok teduhan, pokok-pokok hiasan, palma dan juga buluh. Sementara tumbuhan di dalam kategori sekunder pula boleh terdiri dari kalangan tumbuhan-tumbuhan renek, pepanjat, herba, penutup bumi dan seumpamanya. Tumbuhan-tumbuhan ini dengan rupabentuk, saiz, warna, ira, bilangan dan keistimewaan mereka yang tersendiri diadun dengan pengolahan yang boleh menyenangkan pemandangan pengguna di samping memenuhi keperluan untuk keberadaannya di satu-satu lokasi pilihan akan menghasilkan satu binaan landskap lembut yang dimaksudkan.




Landskap kejur
Landskap kejur pula merupakan seni binaan landskap yang membabitkan pembinaan atau kemasukan struktur-struktur khas yakni elemen-elemen kejur di dalam sesebuah rekabina landskap. Komponen ini yang turut dikenali sebagai Landskap Binaan boleh terdiri daripada beberapa elemen, antaranya termasuklah :
i.                    Perabot taman – Kerusi taman, buaian, tong sampah,  pasu, planter box  dan seumpamanya
ii.                  Arca
iii.                Struktur – Wakaf ataupun Gazebo, Jambatan, Pintu Gerbang, longkang, dinding (Feature Wall), pagar dan Pergola
iv.                 Laluan – Pathway, stepping stones, landscape pebbles dan sebagainya
v.                   Pencahayaan – bolard, lampu dan komponen seangkatan.
vi.                 Water features – kolam dan pancuran
Kesemua atau sebahagian daripada elemen ini diolah atau direka dengan memasukkan elemen kreativiti kemudian diadun sebagai pelengkap dan dengan keserasian ianya digabungkan bersama dengan landskap lembut untuk menghasilkan rekabina landskap yang menarik dan bermakna.


Salah faham mengenai landskap

Landskap bukanlah bermakna penanaman pokok semata-mata. Ianya juga  bukanlah sesuatu yang membabitkan pemilihan jenis-jenis pokok sahaja. Ia tidak juga bermakna - mengisi sesuatu ruang samada sediada atau baru dibina dengan pokok , samada ruang yang kecil mahupun ruang yang besar. Anggapan mereka yang di luar bidang ini bahawa sekiranya peruntukan ruang menanam telah dibuat, maka pihak landskap boleh mengisikannya dengan pokok selepas ini, maka kerja-kerja pengisian pokok tersebut bukanlah satu kerja landskap secara hakikatnya. Di dalam perlaksanaan sesuatu aktiviti landskap, sekiranya melibatkan penanaman pokok, maka penanaman pokok hanya perlu dilaksanakan apabila mempunyai tujuan yang jelas yakni untuk apa pokok tersebut ditanam. Pokok tidak hanya ditanam kerana terdapatnya ruang kosong di situ. Anggapan mudah ini akan menyebabkan banyak padang bola sepak di dalam stadium di negara ini akan dipenuhi dengan pokok.  Pokok tidak ditanam kerana di dalam kawasan pembangunan atau kediaman orang lain ada ditanam dengan pokok. Ia ditanam dengan memahami keperluan kehadirannya dalam kehidupan manusia sejagat. Ia ditanam bagi memperolehi fungsinya sebagai pokok dengan kefahaman terhadap had-had dan keupayaan yang boleh membenarkannya tumbuh dengan baik berdasarkan persekitaran. Penanaman pokok dengan tujuan yang jelas dan disandarkan pula dengan perancangan untuk memperolehi fungsi yang diperlukan merupakan sebahagian daripada aktiviti landskap yang membabitkan komponen landskap lembut.



Cabaran dan tanggapan terhadap pembudayaan senihias landskap

Terdapat tanggapan di kalangan masyarakat bahawa senihias landskap selalunya hanya diamalkan oleh kalangan mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik sahaja. Kecenderungan untuk memiliki halaman yang dilandskapkan biasanya terserlah di kalangan mereka yang berkemampuan. Penglibatan warga masyarakat di dalam aktiviti landskap dikaitkan dengan peningkatan taraf kehidupan mereka.

Terdapat juga pandangan bahawa kemasukan elemen landskap di dalam satu-satu kawasan akan membabitkan penggunaan ruang yang banyak. Bahkan ruang-ruang yang kecil dikatakan samasekali tidak sesuai untuk diberi sentuhan landskap.

Mengamalkan suasana yang berlandskap indah cantik dan kemas turut dikatakan memerlukan pelaburan dan peruntukan kos yang tinggi. Justeru komponen atau kerja-kerja landskap selalunya akan terpinggir dan dipertimbang pada sudut-sudut terakhir keperluan di dalam sesebuah aktiviti pembangunan.

Menjadikan ruang luar samada kediaman, pejabat atau kawasan bandar kelihatan kemas, cantik, menarik dan memberi keselesaan dari sudut pandangan dan guna ruang berkenaan bukanlah terlalu bergantung kepada taraf kedudukan atau latarbelakang individu yang menjayakannya. Ianya bermula dengan minat dan kecenderungan, perancangan dan usaha gigih. Minat yang ada akan melorongkan kegiatan atau usaha untuk menghasilkan pencapaian cita-cita atau perancangan untuk membina landskap yang baik. Sedikit panduan yang bersistematik yang diperolehi samada melalui bacaan, latihan, tunjukajar dan amali berterusan akan dapat membantu di dalam merealisasikan rekabina landskap yang dirancang.

Ruang yang kecil jika diberi sentuhan kreatif akan menyerlahkan kelainan dan kepuasan. Mengambilkira skala ruang berbanding elemen yang bakal dimasukkan sebagai tatahias landskap merupakan antara langkah mudah yang perlu untuk disesuaikan dengan suasana yang ada.

Pelaburan peruntukan di dalam menjayakan sesuatu projek merekabina landskap merupakan keperluan. Walaubagaimanapun dengan perancangan yang berhemah jumlah pelaburan yang dikeluarkan dapat disesuaikan dengan kehendak dan keperluan.



Kesimpulan

Secara umumnya amalan membina dan memelihara landskap melalui sikap menyintai alam sekitar dan menggalakkan penanaman pokok atau tumbuhan perlu dibudayakan. Budaya untuk mendiami persekitaran yang bersih, kemas dan harmoni dengan alam sekitar perlu dipupuk di peringkat kanak-kanak lagi. Usaha dan galakan penanaman di kalangan masyarakat  sebaiknya diperkemaskan pula dengan sumbangan disiplin yang terdapat di dalam bidang senibina landskap. Pemahaman mengenai landskap meskipun secara asas kepada masyarakat umum boleh menyumbang kepada perubahan kawasan persekitaran yang lebih berkualiti.






Rujukan :

Abu Bakar, M.D. 2005. Variasi Tanaman Hiasan. Alaf Duapuluh Satu Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.

Adnan, M. 2003. Pokok-pokok Untuk Tanaman Bandar-Ed.Ke-2. Siri Alam dan Rimba No. 1. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong.

Adnan, M. (et.al). 2003 Program Penghijauan Sekolah : Panduan Pemilihan dan Penanaman Pokok Teduhan dan Hiasan.  Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia

Ahmad Nazarudin, M.R. & Noor Azlin,Y. 2001. Penanaman Pokok di Kawasan Bandar. FRIM in Focus. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.Ms10-11





Mohd Afendi, H, Adnan, M, Azahari M.Y., Ahmad Azaruddin, M.N. dan Ahmad Nazaruddin A.R. 2006. Tumbuhan Hiasan Untuk Landskap. Siri Alam dan Rimba No. 10

NG, F.S.P 2006.Tropical Horticulture and Gardening. Clear Water Publications Sdn. Bhd. Kuala Lumpur






Nota untuk pembaca/pengunjung blog ini :
Kertas kerja ini dibentang dan disediakan sebagai nota Kursus Landskap dan Penyelenggaraan Pokok anjuran Institut Pembangunan Modal Insan  Zon Tengah, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ampang, Kuala Lumpur 9 – 11 April 2013







Kertas kerja ini boleh dirujuk dengan penyataan berikut :

·         MOHD AFENDI, H. Pengenalan Landskap. Kertas kerja dibentangkan di dalam Kursus Landskap dan Penyelenggaraan Pokok anjuran Institut Pembangunan Modal Insan  Zon Tengah, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ampang, Kuala Lumpur 9 – 11 April 2013.




1 comment:

  1. Strange "water hack" burns 2lbs overnight

    More than 160 thousand men and women are utilizing a easy and secret "liquid hack" to burn 2 lbs each and every night while they sleep.

    It is proven and it works all the time.

    This is how to do it yourself:

    1) Take a drinking glass and fill it up half the way

    2) Proceed to use this crazy hack

    and become 2 lbs lighter in the morning!

    ReplyDelete