Wednesday, August 27, 2014

Amalan 7 K di dalam aktiviti landskap




Bagi membantu mereka yang mencari rujukan di dalam penulisan berkaitan dengan landskap dan penyelenggaraan pokok, pihak kami akan berusaha mengumpul dan menyiarkan kertas-kertas kerja, poster atau nota yang disediakan di dalam kursus/bengkel atau persidangan-persidangan yang dianjurkan. Mereka yang berminat atau merasakan perlu untuk berkongsi kertas kerja mereka kepada pengunjung bolehlah juga berbuat demikian dan sangatlah dialu-alukan. Semoga usaha kecil ini akan membantu para pelajar, guru-guru, pensyarah, mereka yang berkecimpung atau bertugas dalam bidang landskap dan penyelenggaraan pokok bahkan orang ramai dalam memahami dan mendalami bidang ini. 

Hubungi mytamanilhamnurani@gmail.com untuk keterangan lanjut.













Amalan 7 K di dalam aktiviti landskap



Pengenalan

Membina landskap sesebuah taman ; baik kecil mahu pun besar - boleh menjadi lebih mudah sekiranya kita dapat memahami serba sedikit prinsip asas di dalam proses pembinaan taman tersebut. Prinsip-prinsip asas ini secara umumnya merupakan amalan-amalan ringkas yang boleh dilaksanakan oleh mereka yang ingin membina  landskap taman dan merangkumi perkara-perkara seperti berikut :

1.      Kebersihan

Samada disedari atau tidak, kebersihan merupakan merupakan aspek terpenting bagi memperolehi sebuah karya landskap yang baik. Landskap yang dibina dengan harga yang tinggi menjadi tidak bermakna jika tiada elemen kebersihan dikuatkuasakan atau dipraktiskan bagi melengkapkan pakej landskap berkenaan. Kawasan yang kotor akan mencacatkan pemandangan dan menjadikan penghuni, pengunjung atau pengguna merasa tidak selesa.

Sekiranya kita ingin memulakan aktiviti membina landskap di kawasan kita, mulakanlah dengan menjadikan persekitarannya bersih terlebih dahulu. Ingatlah menjaga dan memelihara kebersihan bukanlah sekadar merangkumi aspek-aspek jasmani atau fizikal semata-mata. Ianya turut membabitkan elemen spiritual atau kerohanian bagi menjadikannya sebagai dorongan untuk memelihara kebersihan.  Secara jasmaninya ia bermaksud mengeluarkan bahan-bahan atau objek yang tidak diingini atau sampah dari persekitaran tersebut manakala dari sudut rohaninya kita memahami bahawa ianya juga adalah sebahagian daripada amalan baik yang perlu dipraktikkan sebagai terjemahan keimanan.


2.      Kekemasan

Kawasan atau persekitaran yang bersih sahaja sebenarnya belum begitu mencukupi bagi memperolehi kesan landskap yang sebenar. Meskipun secara asasnya gambaran rupabentuk rekaan landskap mula kelihatan akan tetapi suntikan elemen kekemasan akan menyebabkannya lebih terserlah dan ketara.

Pastikan kawasan atau persekitaran yang bersih diberi penekanan tambahan iaitu kekemasan. Kekemasan bermaksud memastikan sesuatu keadaan, perkara atau objek itu berada pada tempatnya dan tersusun rapi. Kawasan yang telah bersih tetapi berselerak masih mengelirukan pengguna untuk diolah seni landskapnya.

Susun semula perabot taman seperti pasu dan batuan bagi memperolehi impak atau kesan-kesan khas seperti turutan, keseimbangan dan pelbagai. Potong rumput  mengikut jadual dan sapu kawasan untuk kelihatan kemas dan menarik




3.      Kegunaan ruang

Kawasan atau persekitaran yang bersih, lapang dan kemas mampu membuka minda untuk merekabentuk landskap yang diinginkan. Langkah seterusnya kini ialah untuk mempertimbangkan kegunaan sebenar ruang tersebut sebelum  dibangunkan dengan binaan landskap sebenar.

Sesetengah binaan landskap merupakan binaan yang membenarkan kegiatan yang aktif. Ini bermakna ruang yang ingin dibangunkan itu bersifat lebih terbuka untuk menerima kunjungan, aktiviti aktif ataupun riadah pengguna. Rekabentuk dan susun atur untuk kawasan sebegini sebaiknya mampu memberikan fungsi tersebut mengikut jangkaan jumlah penggunanya. Ia boleh kelihatan lebih terbuka. Kehadiran beberapa elemen landskap seperti binaan-binaan kejur atau perabot taman boleh membantu melengkapkan fungsi-fungsi ini.

Selain daripada itu terdapat juga binaan landskap yang bersifat pasif yakni kurang membabitkan penglibatan aktiviti di dalamnya. Boleh dikatakan landskap sebegini bersifat persembahan atau berbentuk pameran semata-mata. Binaan landskap  sebegini juga boleh kelihatan menarik bahkan mendamaikan untuk ditonton. Binaannya kekadang unik, kekadang ringkas dan memberi impak kenangan atau selesa untuk mereka yang melihatnya. Ada keadaannya binaan landskap sebegini cenderung dengan suntikan gabungan struktur kejur dan landskap lembut.

Menentukan jenis penataan landskap bagi mengenalpasti kegunaan ruang adakalanya mengelirukan. Justeru adalah lebih baik untuk membuat sedikit ‘homework’ dengan bertanyakan mereka yang arif atau merujuk kepada mana-mana buku atau majalah yang boleh membantu memberikan pelbagai pilihan menarik.

Pastikan siapakah pengguna sebenar ruang landskap yang bakal dibangunkan itu.




4.      Kenali spesies

Membangunkan satu-satu persekitaran atau ruang dengan binaan landskap pastinya akan membabitkan pemilihan bahan tanaman. Agak sukar untuk merancang penanaman pokok bagi tujuan landskap jika kita tidak dapat mengenalpasti apakah jenis pokok yang bakal ditanam. Spesies yang berbeza akan tumbuh dengan cara dan karektor yang berbeza. Saiz matang pokok yang berbeza, corak pertumbuhan, bentuk percabangan serta daun bahkan banir pokok akan turut mempengaruhi pemilihan spesies ini nanti. Kefahaman dan pengalaman mengendalikan spesies-spesies ini akan memudahkan kerja-kerja perancangan kerana dapat disesuaikan dengan lokasi penanaman yang disediakan. Tanamlah pokok dengan prinsip “ Right Tree – Right Place”


5.      Kreativiti

Jadilah seorang yang kreatif. Membina dan menjadikan ruang atau persekitaran itu kelihatan menarik memerlukan kreativiti.  Karya atau gaya penataan, susunhias landskap yang kreatif - mencuri perhatian atau tumpuan para pengguna, pengunjung termasuklah orang ramai.

Pelajari teknik mencipta taman kreatif dengan memperbanyakkan rujukan, pembacaan, kunjungan ke lokasi-lokasi menarik dan berfikiran lebih terbuka.


6.      Keupayaan senggara

Adalah perlu untuk memastikan bahawa peragaan landskap yang dibina merupakan binaan landskap yang mudah diselenggara.  Binaan landskap dengan penanaman atau struktur yang menarik perlu dilengkapkan dengan kaedah kerja-kerja penyelenggaraannya. Ini termasuklah binaan-binaan water-features, susunatur tanaman hiasan serta pokok-pokok rendang.


7.      Kos

Tidak dapat dinafikan bahawa binaan landskap memerlukan pembiayaan kos. Pembiayaan kos adakalanya membabitkan khidmat perundingan, persiapan tapak, bekalan anak benih , kerja-kerja penanaman dan pelbagai. Kos binaan landskap dapat dikurangkan sekiranya perancangan awal dilaksanakan bagi tujuan tersebut. Ini membabitkan penyediaan bahan tanaman di peringkat awalan dan kerja-kerja yang dilakukan dengan kemahiran yang sediada. Tingkatkan kebolehan dengan mengikuti kursus-kursus landskap yang disediakan.

Kesimpulan

Pembinaan landskap memerlukan beberapa komitmen penting yang boleh memberikan hasil kerja yang bukan sahaja menarik tetapi berfungsi kepada penggunanya. Pertimbangan terhadap 7 aspek penting yang dinyatakan di atas, bakal memudahkan pengamal landskap dan mereka yang ingin bermula di dalam bidang landskap untuk mewujudkan persekitaran yang menarik serta memberikan fungsi kepada penggunanya.




Rujukan :

Abu Bakar, M.D. 2005. Variasi Tanaman Hiasan. Alaf Duapuluh Satu Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.

Adnan, M. 2003. Pokok-pokok Untuk Tanaman Bandar-Ed.Ke-2Siri Alam dan Rimba No.1. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong.

Adnan, M. (et.al). 2003 Program Penghijauan Sekolah : Panduan Pemilihan dan Penanaman Pokok Teduhan dan Hiasan.  Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia

Ahmad Nazarudin, M.R. & Noor Azlin,Y. 2001. Penanaman Pokok di Kawasan Bandar. FRIM in Focus. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Ms10-11

Mohd Afendi, H, Adnan, M, Azahari M.Y., Ahmad Azaruddin, M.N. dan Ahmad Nazaruddin A. R. 2006. Tumbuhan Hiasan Untuk Landskap. Siri Alam dan Rimba No. 10

NG, F.S.P 2006.Tropical Horticulture and Gardening. Clear Water Publications Sdn. Bhd. Kuala Lumpur





Nota untuk pembaca/pengunjung blog ini :
Kertas kerja ini dibentang dan disediakan sebagai nota Kursus Landskap dan Penyelenggaraan Pokok anjuran Institut Pembangunan Modal Insan  Zon Tengah, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ampang, Kuala Lumpur 9 – 11 April 2013.

Kertas kerja ini boleh dirujuk dengan penyataan berikut :

·         MOHD AFENDI, H. Amalan 7K di dalam aktiviti landskap. Kertas kerja dibentangkan di dalam Kursus Landskap dan Penyelenggaraan Pokok anjuran Institut Pembangunan Modal Insan  Zon Tengah, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ampang, Kuala Lumpur 9 – 11 April 2013.




1 comment:

  1. Water Hack Burns 2lb of Fat OVERNIGHT

    Over 160k women and men are trying a simple and SECRET "liquid hack" to lose 1-2lbs each night in their sleep.

    It is scientific and works with everybody.

    Here's how to do it yourself:

    1) Go grab a drinking glass and fill it up with water half full

    2) Then do this weight loss HACK

    and be 1-2lbs skinnier in the morning!

    ReplyDelete