Sunday, December 4, 2011

Menyelenggara Tanaman Berpasu


Tips Menyelenggara Tanaman Berpasu

Tanaman berpasu merupakan antara tanaman yang popular yang mudah kelihatan samada di kawasan-kawasan kediaman persendirian ataupun di dalam dan di luar bangunan-bangunan pejabat. Kehadiran tanaman berpasu merupakan keperluan bagi mengimbangi kembali kewujudan struktur-struktur kejur yang terdiri daripada bangunan (dinding, tiang, lantai dsb), gazebo, jalanraya atau laluan, pagar dan pelbagai.

Terdapat berbagai jenis tanaman turut ditanam di dalam pasu-pasu (yang terdiri daripada pelbagai bentuk) bertujuan menjadikan ruang yang ada lebih menarik di samping menawarkan fungsi - fungsi yang tersendiri.

Namun di sebalik kewujudan tanaman-tanaman berpasu ini, wujud juga satu keperluan untuk memastikannya sentiasa kemas, tanaman sentiasa subur serta sentiasa kelihatan menarik.


Antara tips yang boleh anda gunakan termasuklah :




1. Mengamalkan dan menjaga kebersihan

Amalan kebersihan merupakan saranan agama. " kebersihan adalah sebahagian daripada iman - maksud hadis", justeru menjaga kebersihan pasu juga merupakan amalan baik yang perlu dibudayakan bagi memastikan penataan tanaman berpasu kelihatan sentiasa menarik. Kebersihan bukan bermaksud menjadikan pasu berkilat sentiasa, kebersihan memerlukan komitmen diri kita sendiri untuk memastikan tiada bahan buangan dibiarkan terbiar di dalam pasu tanpa respon daripada kita yang menjaganya. Buanglah kotoran atau sampah-sampah yang ditinggalkan oleh mereka yang masih mengganggap pasu sebagai tempat membuang sampah, puntung rokok dan pelbagai.

Bergantung kepada tema yang digunakan, tidak semua pasu memerlukan pembersihan berpanjangan. Tema-tema persembahan taman seperti 'rustic', Bali , 'tropical' dan pancuran menyaksikan adakalanya pasu-pasu ini lebih sesuai untuk kelihatan seakan 'lama' dan sepadan atau sedondon dengan suasana berkenaan.





2. Menyusun dan Mengemas

Kawasan yang bersih tetapi kedudukan pasu pula tidak teratur, senget dan berselerak memerlukan sentuhan SUSUNAN. Sama ada di rumah kediaman atau di persekitaran pejabat/kantor anda, mana-mana pasu yang berada di dalam kedudukan lurus , pastikan ianya berada di kedudukan yang lurus. Mana-mana pasu yang memerlukan saiz yang sama dari segi susun aturnya hendaklah disusun kembali bersama kumpulannya. Pastikan tanaman yang berada di dalam pasu-pasu ini turut mempunyai tahap kesuburan yang sama. Pastikan juga bentuk silara tanaman di dalam pasu-pasu ini diandam dengan rupabentuk yang sama untuk kesan keseragaman di dalam susun atur tanaman nanti. bergantung kepada kesesuaian lokasi anda , tanaman berpasu pada bahagian sudut dinding , ada kalanya lebih sesuai diolah dengan pasu berlainan saiz dan ketinggian.


3. Pelihara kesuburan pokok

Pasu yang bersih, kemas dan cantik masih kelihatan hambar sekiranya mempunyai pokok yang kurang subur, rosak dan berstatus "hidup segan mati tak mahu". Tumbuhan yang ditanam perlu dipelihara kesuburannya. Lakukan siraman, perelokkanlah media dan suburkannya dengan menambahkan bahan organan bagi penambahan nutrien dan memperbaiki struktur media.

Siraman untuk pokok di dalam pasu perlu dilakukan mengikut keperluan tanaman. Sesetengah tanaman seperti Bougenvilla tidak memerlukan siraman yang banyak. Tanaman paku pakis lebih menggemari siraman ke atas daun selain siraman ke media. melakukan siraman yang berlebihan sehingga tanah terlalu lembab boleh merosakkan tanaman itu nanti.

Bajalah tanaman di dalam pasu dan lakukan siraman apabila selesai membaja. Awasi pembajaan agar tidak terlalu hampir dengan pangkal pokok bagi mengelakkan batang pokok berkenaan melecuh dan buanglah rumpai yang ada di dalam pasu bagi mengelakkan persaingan mendapatkan nutrien serta menjadikannya kelihatan lebih kemas dan menarik.

Perhatikan sekiranya tanaman di dalam pasu mula diserang penyakit. Pencegahan serangan penyakit boleh dilakukan sekiranya kita dapat mengesan kehadirannya lebih awal. Potong dan buang daun-daun yang diserang penyakit agar tidak nanti merebak ke daun-daun yang lain. Musnahkan perosak seperti siput atau ulat yang boleh memakan daun tanaman.


Menyelenggara tanaman berpasu hampir sama dengan penyelenggaraan tanaman di halaman kediaman ataupun lapangan. Kerja-kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan dengan kefahaman dan komitmen yang tinggi. Minat dan kesungguhan untuk memiliki tanaman pasuan yang sihat dan cantik akan mendorong kepada komitmen ini.

Semoga contoh-contoh foto yang ada turut mendorong kita untuk memastikan tanaman berpasu yang ada sentiasa kelihatan menarik...

Hargai keindahan tanaman dan pasu anda....























Artikel ini disediakan oleh mytaman


No comments:

Post a Comment