Benarkah menanam pokok semudah ABC ?
Memang benar, kerana dari segi teorinya , kerja-kerja penanaman pokok kelihatan mudah dan ringkas. Namun hakikatnya penanaman pokok juga memerlukan sedikit kefahaman mengenai keperluan dan kesesuaian untuk pertumbuhan pokok berkenaan.
Penanaman pokok boleh dibahagikan kepada 3 fasa :
Fasa pertama :
Membuat pertimbangan awal dan memahami keperluan menanam
Fasa kedua :
Proses penanaman – Pemilihan spesies, penyediaan tapak penanaman dan penanaman
Fasa ketiga :
Proses menjaga atau memelihara pokok berkenaan.
Pertimbangan Awal – memahami keperluan menanam
Pertimbangan awal yang dimaksudkan di dalam fasa pertama merujuk kepada keperluan untuk menanam pokok itu sendiri. Penanaman pokok bukanlah dilakukan kerana ramai orang telah melakukannya sebaliknya ia dilakukan dengan kesedaran dan tanggungjawab melaksanakan amanah Allah untuk memelihara alam sekitar.
Pokok ditanam atas maksud mengagumi kebesaran kejadian Tuhan yang telah menjadikannya terdahulu daripada kita. Menanamnya merupakan sedekah. Sedangkan sedekah adalah ibadah (perbuatan baik/berbuat kebaikan) dan perbuatan baik pula disukai Allah. Bahkan Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
"Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan dari tanaman tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, apa yang dicuri dari tanamannya tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, tidaklah seseorang merampas tanamannya melainkan bagi penanamnya menjadi sedekah.” (HR. Muslim)
Galakan melaksanakan perbuatan baik ini (antaranya melalui peluang melaksanakan penanaman) diberi kesempatan hingga pada saat-saat akhir melalui maksud hadis berikut :
“Jika tiba waktunya hari Kiamat sementara di tanganmu masih ada biji kurma, maka tanamlah segera” (HR. Ahmad)
Kehadiran pokok mempunyai fungsi tersendiri yang cukup penting buat penghuni dunia. Bukankah pokok membebaskan gas oksigen untuk kehidupan, menyimpan karbon bagi mengurangi kesan rumah hijau dan “heat island” di kawasan bandar, bahkan memberikan redupan untuk naungan lantas menjadikan persekitaran lebih sejuk dan selesa. Pokok turut menjadi sumber makanan yang sempurna malah membekal bahan asas utama dalam industri pembinaan termasuk juga untuk bidang farmasutikal.
Penanaman pokok juga perlu dilakukan atas keperluan untuk memenuhi beberapa fungsi. Walaupun ramai yang melihat kepentingan penanaman pokok dari sudut aestatik atau kecantikan (rupa bentuk kanopi atau bunganya) sahaja. Namun secara tidak kita sedari, kecantikan dan keindahan tersebut turut bertindak sebagai penawar dalam menyalurkan keperluan ketenangan kepada pemikiran individu yang menghayatinya. Pemikiran yang lebih tenang pula akan membantu kita untuk membuat pertimbangan atau keputusan-keputusan yang lebih baik dan rasional.
Kehadiran pokok turut membantu memulikan mereka yang dirawat dengan lebih cepat. Memetik hasil kajian yang pernah dilakukan -"In laboratory research, visual exposure to settings with trees has produced significant recovery from stress within five minutes, as indicated by changes in blood pressure and muscle tension."—Dr. Roger S. Ulrich Texas A&M University ; menunjukkan bahawa kewujudan ruang dengan hiasan pokok turut berkesan di dalam memulihkan tekanan. Kewujudan elemen terapi ini mendorong ahli-ahli landskap untuk melahirkan rekabentuk taman yang berkonsepkan ‘healing garden’ bagi tujuan menggalakkan penyembuhan penyakit. Bapa kepada bidang Arborikultur Moden– Dr. Alex Shigo pernah menulis " A city without trees is not worth living in" menunjukkan semaju mana sekalipun kita membangun, kewujudan pokok tetap relevan. Bukankah pokok juga menghidupkan bandar, tempat di mana kita bekerja, beriadah dan tinggal?
Selain memahami keperluan menanam, beberapa pertimbangan juga perlu diambilkira. Antaranya:
i. Apakah spesies yang ingin kita tanam? Bagaimanakah rupa bentuk dan juga saiznya?
ii. Bagaimana dengan rekod atau prestasi kejayaan penanaman pokok berkenaan?.Bagaimana pengalaman mereka yang pernah menanam dan menjaganya?
Maklumat-maklumat begini, meskipun nampak remeh namun cukup berguna untuk memastikan kejayaan menanam. Mengenali pokok yang ingin kita tanam setidak-tidaknya akan memudahkan kita memilih dan menentukan lokasi yang sesuai untuknya. Ia membantu kita mengatur jarak penanaman yang lebih tepat malah dapat mengelakkan kemungkinan negatif yang mungkin terhasil akibat penanaman.
Anda kini semakin hampir untuk memulakan penanaman. Ikuti langkah seterusnya mengenai cara-cara membuat pemilihan spesies. Tanamlah pokok untuk kini dan masa hadapan.
Artikel oleh mytaman
Anda juga mungkin berminat untuk mengikuti artikel berikut :
Penyediaan tapak penanaman
Pokok dan ruang
Pokok teduhan dan hiasan
Penyediaan tapak penanaman
Pokok dan ruang
Pokok teduhan dan hiasan
No comments:
Post a Comment