Sunday, February 26, 2012

Penyediaan Tapak Penanaman

(... sambungan siri penanaman pokok)




Telah menjadi satu kebiasaan di kalangan mereka yang ingin menanam pokok untuk menggunakan istilah menyediakan "lubang tanaman" bagi kerja-kerja menanam pokok. Namun hakikat sebenarnya penanaman bukanlah sekadar menyediakan "lubang tanaman". Penanaman memerlukan penyediaan dan pertimbangan keseluruhan kawasan tapak penanaman terbabit. Lubang penanaman merupakan sebahagian daripada penyediaan tapak penanaman ini.

Ini bermakna, kita bukanlah menyediakan sebuah lubang untuk dimasukkan pokok sahaja, sebaliknya kita mempertimbangkan, menilai keadaan tapak penanaman dan menyediakan satu keadaan yang paling baik untuk pokok berkenaan untuk tumbuh dengan sempurna.

Penilaian awal yang perlu diambilkira ialah kesesuaian lokasi. Pilihlah lokasi yang berasakan kepada prinsip " right tree at a right place". Justeru bagi anda mahupun mereka yang merancang kerja-kerja penanaman, sebaiknyalah kita melawat tapak-tapak penanaman terlebih dahulu dan kemudiannya menilai kualiti tanah, kesesuaian kawasan, kecerunan, saiz ruang dan pelbagai faktor lain seperti jarak struktur berdekatan , laluan angin bahkan arah matahari yang boleh mempengaruhi kejayaan penanaman dan menjadikan fungsi penanaman tersebut tercapai.


Kualiti tanah

Kualiti tanah sangat mempengaruhi kejayaan sesuatu penanaman. Di kawasan bandar (terutamanya) atau taman-taman perumahan, tidak semua tanah penanaman merupakan tanah yang mempunyai kualiti yang sama sebagaimana tanah kebun di kawasan kampung. Tanah yang dikhususkan atau dipilih untuk penanaman, kebanyakannya boleh terdiri daripada tanah yang subur, sederhana subur ataupun tidak subur sama sekali. Sesetengah tapak penanaman boleh terdiri daripada kawasan bukit yang telah dipotong atau tapak yang telah dipadatkan dengan tanah liat yang samasekali tidak sesuai untuk digunakan sebagai tanah penanaman.





nota :
Kualiti tanah yang tidak elok seperti terlalu banyak kandungan liat boleh menghasilkan lubang tanaman yang tidak poros. Air yang terkumpul tidak dapat menyerap masuk ke dalam tanah.






Terdapat juga di sesetengah kawasan, tapak penanamannya boleh terdiri daripada kawasan berpasir ataupun berbatu-batan. Tanah yang sedemikian biasanya dikategorikan sebagai kurang atau tidak berkualiti bagi tujuan penanaman dan memerlukan pengubahsuaian saiz lubang penanaman di samping pengubahsuaian terhadap media tanaman. Penggunaan saiz lubang tanaman yang lebih besar di samping penggunaan bahan pengelok tanah (soil conditioner) merupakan antara beberapa kaedah yang boleh membantu memastikan kejayaan penanaman nanti.

nota :
Foto di sebelah menunjukkan lubang penanaman yang kandungan tanah di tapak penanaman ini terdiri daripada tanah yang berbatu batan serta liat. Penyediaan lubang penanaman yang kecil memberi ruang yang terhad kepada tumbesaran akar pokok. Keadaan ini boleh menyebabkan pokok berkenaan menjadi terbantut tumbesarannya.




nota:

Terdapat juga tapak penanaman yang mempunyai tanah liat yang berlapis-lapis, berketul-ketul dan tidak poros. Pengubahsuaian media tanaman ataupun penggantian penggunaan media penanaman yang baru diperlukan dalam kuantiti yang banyak bagi memastikan kejayaan penanaman.





Saiz lubang penanaman

Secara umumnya tidak ada saiz lubang yang tepat bagi kerja-kerja menanam. Namun terdapat panduan mudah yang boleh digunakan bagi penyediaan lubang penanaman. Saiz lubang penanaman bergantung kepada saiz bebola akar pokok yang hendak ditanam. Semakin besar bebola akar , maka semakin besarlah lubang penanaman yang perlu disediakan. Kadar saiz lubang penanaman berbanding bebola akar yang disyorkan ialah 3:1

Ini bermakna lubang penanaman hendaklah bersaiz 3 kali ganda lebih lebar daripada saiz bebola akar yang hendak ditanam. Namun begitu, sekiranya terdapat

i. kekangan (limitation) untuk menyediakan saiz berkenaan, atau
ii. tapak penanaman tersebut merupakan kawasan yang secara semulajadinya subur

maka saiz lubang tanaman sekurang-kurangnya hendaklah 2 kali ganda lebih lebar daripada saiz bebola akar pokok yang hendak ditanam. Kadar ini turut sesuai untuk tanaman-tanaman kecil ataupun shrubs.

Bagi tujuan penyelarasan dan bagi memudahkan kerja-kerja pengiraan kos, lubang-lubang tanaman selalunya diberikan ukuran. saiz-saiz seperti 1m padu atau 1m x 1m x 1m merupakan saiz standard yang banyak digunakan oleh kebanyakan Arkitek Landskap ataupun mereka yang bertugas mengendali atau menyelia penanaman. Penggunaan saiz lubang ini agak kecil dan tidak begitu sesuai terutamanya di kawasan bandar ataupun kawasan-kawasan yang baru dibuat pembangunan. Secara logiknya kawasan yang baru dibangunkan memerlukan tapak yang telah dipadatkan. Keadaan tanah yang padat sama sekali tidak sesuai untuk tumbesaran pokok (Soil compaction normally high within construction area and unsuitable for tree planting). Justeru menyediakan saiz lubang penanaman yang lebih besar seperti 2m lebar x 2m lebar dengan kedalaman 1m adalah lebih bersesuaian.


Bentuk lubang penanaman

Lubang penanaman tidak semestinya berbentuk segiempat sama atau segiempat tepat!
Bentuk bulat merupakan bentuk yang terbaik bagi penyediaan lubang penanaman. Dinding lubang penanaman tak semestinya binaan yang lurus tegak umpama kotak. Ia boleh terbentuk dengan keadaan yang tidak sekata, tidak licin bahkan tidak menarik. Penyediaan dinding lubang tanaman yang sedemikian akan memudahkan lagi penyebaran akar tanaman. Akar yang dapat merebak dengan baik akan membantu pertumbuhan pokok yang lebih subur dan stabil.


Kaedah penyediaan tapak penanaman




Tapak penanaman boleh disediakan dengan menggunakan jentera (JCB) ataupun manual bergantung kepada kualiti tanah dan saiz tapak penanaman yang diperlukan. Terdapat juga jentera yang menggunakan auger bersaiz besar (berjenama) yang praktikal bagi tujuan menyediakan lubang penanaman. Jentera ini lebih ringan berbanding JCB dan skop penggunaan mungkin terhad bagi kerja-kerja pengangkutan bahan tanaman yang besar berbanding JCB. Kelebihan dan limitasi pemilihan jentera perlu dinilai oleh mereka yang akan menggunakannya nanti. Penanaman secara manual tidak praktikal di kawasan berbatu batan ataupun bertanah keras.









Artikel oleh mytaman
Layari dunia taman anda di http://mytaman-ilhamnurani.blogspot.com/

Artikel lain yang berkaitan :

No comments:

Post a Comment