Monday, February 6, 2012

Penanaman Pokok

Fasa kedua :

Proses Penanaman :

Pemilihan spesies, penyediaan tapak penanaman dan penanaman

Adalah lebih baik sebelum penanaman dilakukan kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai pokok yang bakal kita tanam. Ini disebabkan karektor atau rupabentuk pokok berkenaan semasa kecil tidak sama apabila ia menjadi dewasa. Pokok akan tumbuh dengan sifat dan karektor semulajadinya. Ada yang tinggi. Ada yang sederhana tinggi dan ada yang kecil. Ada juga yang menirus dan ada juga yang merendang. Kealpaan dan sikap ambil mudah tanpa mempertimbangkan saiz pokok tersebut apabila menjadi dewasa boleh mengundang masalah dan berkemungkinan juga risiko lain. Usaha kita memahami sifat pokok akan membantu pokok-pokok ini untuk tumbuh dengan baik dan dapat pula memberi fungsi yang kita inginkan. Sekiranya anda kurang pasti dengan pokok yang anda ingin tanam, anda bolehlah bertanyakan kepada Arborist yang sediada.

Perhatikan gambarajah anakbenih/bibit di bawah. Terdapat anak-anak benih pokok yang tumbuh samada dengan satu batang utama (single leader: A) ataupun tumbuh dengan dua batang utama (co-dominant : B) ataupun berbilang batang (multiple/forking stem : C). Hanya anak benih yang mempunyai single leader(A) atau satu pucuk utama sahaja yang sesuai untuk tujuan penanaman. Keadaan ini sangat sesuai bagi kalangan spesies yang mempunyai silara matang berbentuk kun atau conical atau mempunyai karektor pertumbuhan dengan satu batang utama seperti merawan, tecoma, pulai,penaga lilin, jelutong dan juga Bucida.











Anak-anak benih yang mempunyai percabangan yang berbilang dan co-dominant, boleh dirawat melalui pemangkasan sebagaimana yang ditunjukkan oleh gambarajah di bawah :



Gambarajah menunjukkan bagaimana anak benih yang mempunyai 2 batang utama dirawat melalui kaedah pemangkasan yang dikenali sebagai structural pruning. Selain mempraktikkan structural pruning semasa di peringkat tapak semaian, pemangkasan structural pruning juga sangat perlu untuk dipraktikkan di awal penanaman.



Penanaman pokok bermula dengan pemilihan anak benih. Pilihlah anak benih pokok yang sihat, tumbuh dengan tegak, berbatang kuat dengan cabang-cabang yang sempurna. Elakkan memilih anak-anak benih yang mempunyai cabang co-dominant ataupun bercabang dua dari peringkat kecil lagi. Sekiranya pokok ini anda perlukan juga , pastikan cabang-cabang yang lemah, bergesel, bengkok dipotong terlebih dahulu. Hanya satu cabang utama sahaja dikekalkan untuk pertumbuhan struktur pokok yang baik. Pastikan juga anak benih yang anda pilih tidak mempunyai akar yang bergulung atau berpintal.

Bagi memastikan percabangan pokok ini terbentuk dengan baik, pilihlah anak benih yang mempunyai keadaan cabang yang baik. Cabang-cabang ini perlu diurus agar berada pada jarak yang sesuai untuk perkembangan pokok pada masa akan datang.




Berikut merupakan contoh pokok-pokok yang separa matang tetapi ditanam dari peringkat awal/kecil dengan pemilihan kualiti yang rendah. Elakkan dari menanam pokok sedemikian bagi mengelak risiko dan mengurangkan kesulitan menguruskannya semasa besar nanti.






Gambarajah menunjukkan penanaman pokok yang telah dilaksanakan menggunakan kalangan anak benih yang tidak berkualiti terutama darisegi strukturnya. Kawalan awal terhadap keadaan ini boleh dilaksanakan menggunakan kaedah pemangkasan yang betul.




Elakkan daripada menanam pokok yang cedera atau rosak pada mana-mana bahagian anggotanya. Anggota yang cedera dan terdedah boleh menjadi punca kepada pereputan atau decay selain serangan-serangan penyakit.




Pilihlah tanaman yang seimbang dari segi silara dan percabangannya. Anak benih yang dipilih juga perlu mempunyai jumlah akar yang seimbang berbanding silara serta akarnya tidak bergulung. Pokok akan terbantut pertumbuhannya, tidak sihat dan mudah tumbang sekiranya ditanam dengan keadaan akarnya yang berpintal.





Selain pemilihan anak benih, pemilihan spesies pokok juga merupakan antara faktor yang banyak mempengaruhi kejayaan fungsi tanaman tersebut ditanam dan bertahan lama. Pemilihan spesies pokok hendaklah disesuaikan dengan konsep “right tree - right place”.

Tidak semua pokok sesuai untuk semua tempat. Luas kawasan atau ruang yang disediakan mempengaruhi jenis pokok yang bakal ditanam. Pengaruh ruang penanaman terhadap pokok sangat dan terlalu berkadar terus. Lebih luas ruang untuk pokok membesar maka lebih baik untuk pokok berkenaan. Pokok memerlukan ruang untuknya membesar dan berkembang. Tambah-tambah lagi pokok yang sifatnya merendang dan sering menjadi pokok-pokok pinggiran jalan. Ini bermakna juga penanaman yang terlalu rapat boleh mengundang masalah persaingan ruang antara satu sama lain.




Artikel ini disediakan oleh mytaman

anda seharusnya melihat artikel terdahulu yang berkaitan dengan artikel ini di bawah tajuk penanaman pokok. sila klik di sini.




No comments:

Post a Comment