Friday, July 2, 2010

Contoh Lakaran Taman










Perhatikan contoh lakaran yang disediakan.
Ianya merupakan sebuah lukisan mudah atau asas untuk kebanyakan rumah yang dibina secara semi-D ataupun rumah berangkai di bahagian tepi (rujuk lakaran 1)

Apa yang perlu anda lakukan ialah menandakan ruang-ruang utama yang berpotensi digunakan untuk pelbagai tujuan. Buatlah lakaran bulat, lonjong atau berbentuk awan (bubble) bagi membezakan penggunaan atau kepentingan ruang-ruang berkenaan.


Anda mungkin ingin membesarkan kediaman anda atau memperuntukan ruang bagi kegiatan luaran untuk situasi-situasi yang tertentu seperti sambutan hari keluarga, perayaan, jamuan terbuka dan sebagainya. Anda juga berkemungkinan memerlukan sedikit privasi bagi tujuan istirehat dan pelbagai. Keperluan-keperluan ini sebaiknya anda catatkan dan gabungkan bersama dengan sedikit lakaran mudah sekiranya perlu. Usah dirisaukan pasal skala, kerana apa yang penting ialah menggambarkan idea asas di samping mengenalpasti terlebih dahulu penggunaan ruang yang ada (rujuk lakaran 2)


Tidak perlulah pula untuk kita menggambarkan penggunaan ruang yang terlalu banyak sehinggakan kelihatan terlalu penuh. Apa yang penting ia memenuhi sebahagian besar keperluan utama yang kita inginkan. Bagi memudahkan susunatur tanaman, ada baiknya juga anda meletakkan tanda arah matahari naik atau turun (Lihat lakaran 3).


Mengetahui arah naik turunnya matahari serta arah laluan angin juga boleh membantu anda menentukan ruang-ruang yang memerlukan teduhan mengikut waktu yang sesuai nanti. Anda kini hanya perlu untuk memperincikan lukisan anda bagi mendapat gambaran yang lebih baik. Anda boleh terus menconteng di atas kertas yang sama atau anda boleh meletakkan sehelai kertas tekap(tracing paper) atau kertas minyak bagi memperincikan sedikit lukisan anda(Lihat lakaran 4).


Fikirkan tentang elemen focal point, perabot taman, laluan serta tarikan yang bakal menjadi olahan anda. Tidak semua perkara yang anda gambarkan di dalam lukisan anda perlu disediakan secara serentak. Bergantung kepada bajet yang anda ada, sesetengah pemilik kediaman gemar membangunkan taman mereka secara berperingkat. Tidak mengapalah sekiranya berlaku sedikit perubahan di dalam proses melaksanakannya. Apa yang penting ialah kepuasan diri sendiri menggubah taman untuk kediaman sendiri.


Anda juga kini boleh menyenaraikan spesies- spesies pilihan anda. Buatlah perbandingan dan rujukan serta sedikit homework mengenai susunatur tanaman. Sesetengah majalah seperti Laman, Anjung Seri, Garden Asia serta buku-buku khas mengenai hias laman boleh dijadikan sebagai rujukan. Sekiranya anda juga sering membaca akhbar, terdapat artikel-artikel mengenai hiaslaman yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian dan beberapa akhbar tempatan lain. Jangan lupa mendapatkan pandangan rakan-rakan atau mereka yang arif dalam bidang landskap, arborikultur atau penanaman. Selain maklumat mengenai tanaman ,anda juga akan memperolehi serba sedikit maklumat mengenai kos bahan dan kerja-kerja binaan. Perolehi contoh-contoh harga di tapak-tapak semaian yang anda kunjungi. Input-input ini sangat berguna untuk dijadikan panduan dalam membuat pemilihan tanaman serta perabot-perabot taman lainnya.


Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment