Thursday, July 22, 2010

Taman Pasu-pasuan








Binalah Taman Pasuan Anda!
Start up your container garden!
Tidak semua senibina taman atau landskap menumpukan pengolahan di permukaan tanah semata-mata. Dalam keadaan tertentu, dengan peruntukan ruang yang terhad, penggunaan pasu-pasuan atau bekas-bekas penanaman ternyata lebih berfungsi dan membawa makna.


Penanaman dan peragaan tanaman menggunakan pasu atau bekas-bekas tanaman (containers) mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri. Taman pasu-pasuan selalunya menjadi pilihan apabila ruang menanam begitu terhad atau mungkin tidak ada sama sekali! Di kawasan-kawasan bandar, pasuan-pasuan merupakan salah satu daripada elemen kejur yang popular dan praktikal. Penggunaan pasu terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai permukaan yang kejur seperti kaki-kaki lima dan pembahagi jalan, merupakan langkah yang berkesan untuk mengimbangi elemen hijau dengan elemen binaan. Pasu juga, adakalanya boleh dan turut menjadi pilihan sebagai sebahagian daripada perabot-perabot taman yang unik dan menarik




Penggunaan pasu tidak semestinya terhad untuk kegunaan rumah sahaja, Penggunaan di rumah selalunya tertumpu kepada aneka rupabentuk dan jenis mengikut kegemaran empunya taman.

Ada yang menggunakan untuk menonjolkan keseragaman tidak kurang juga yang menggunakannya untuk mengumpul sebanyak mungkin tanaman. Pasu turut sesuai untuk dijadikan bekas penanaman sayur-sayuran atau ulam-ulaman.



Sesetengah pihak berkuasa tempatan memilih untuk menggunakan pasu sebagai elemen focal point mereka di dalam senihias bandar.

Pemilihan ini meskipun kelihatan mudah, namun tetap mampu memberikan tarikan jika ianya berjaya menyerlahkan identiti tempatan dengan persembahan yang menarik.


Penggunaan pasu-pasuan di dalam kawasan pekan ataupun bandar selalunya mengambilkira kemudahan pengendalian dan penyelenggaraan , pemilihan rekabentuk yang tersendiri dan disuntik pula dengan impak saiz yang sesuai. Elemen-elemen ini pastinya akan mampu memberikan kesan ingatan yang tersendiri terhadap lokasi berkenaan.




kepelbagaian pasu di dalam bandar



pasu turut digunakan secara meluas di dalam kawasan taman awam dan kaki lima








Secara umumnya penggunaan pasu di dalam satu-satu skim landskap itu kebiasaannya dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pertamanya ialah ruang. Ruang penanaman yang terhad akan menyebabkan penggemar taman memilih pasu sebagai alternatif untuk memperolehi elemen hiasan hijau di halaman mereka. Kepelbagaian bentuk dan saiz pasu dengan aneka corak dan warna menjadi faktor kedua kenapa pasu menjadi pilihan penggemar taman. Mempunyai pasu dengan rekaannya memaparkan motif-motif tempatan boleh menghasilkan ‘sense of place “ kepada lokasi berkenaan.


Pasu mempunyai kaitan rapat dengan budaya kehidupan masyarakat satu-satu negara. Kehadiran pasu di dalam satu-satu skim landskap boleh menggambarkan tema landskap di lokasi berkenaan. Laman Melayu turut mempelbagaikan penggunaan pasu dan disesuaikan sebagai salah satu unsur tempatan.




Rekaan landskap berkonsepkan Halaman Melayu turut menggunakan pasu sebagai elemen peragaannnya.





Artikel oleh mytaman (mytaman@gmail.com)

p/s : foto-foto penambahbaikan telah dimuatnaik pada April 1, 2012

No comments:

Post a Comment