Sunday, July 25, 2010

Penggunaan Pasu di Kawasan Bandar dan Pekan


Kepentingan dan Fungsi

Sepertimana peranan yang diperlukan penggunaannya di halaman-halaman kediaman, pasu atau kotak-kotak tanaman juga merupakan satu keperluan bagi membentuk atau mewujudkan keistimewaan sesebuah bandar. Apa yang ketara ialah penggunaan pasu di kawasan bandar sebaiknya mengikut skala yang sesuai dengan lokasi di mana ianya digunakan. Penggunaan pasu bersaiz kecil atau agak sederhana di kawasan yang luas dan besar tidak mendatangkan banyak impak meskipun bilangannya banyak. Keadaan sebegini boleh diperbaiki dengan menggantikan pasu yang lebih besar meskipun kuantitinya sedikit. Bilangan pasu yang digunakan pastinya dipengaruhi oleh keperluan atau rekabentuk peragaan yang dicadangkan oleh pihak Arkitek Landskap. Selain daripada itu susun atur pasu-pasuan di kawasan bandar juga boleh berfungsi sebagai hadangan bagi menghalang kemasukan kenderaan ke kawasan-kawasan tertentu istimewanya bagi menggalakkan pengguna berjalan kaki.

Tips Peragaan Pasu di Kawasan Taman, Bandar atau Pekan

Sebahagian daripada pasu yang banyak kedapatan di kawasan bandar ditanam dengan tumbuhan-tumbuhan popular bagi menambahkan lagi nilai estatika pasu berkenaan. Namun hakikatnya, tidak semua pasu yang dipamerkan perlu diisi dengan tanaman! Sesetengah pasu cukup sekadar berdiri dengan dirinya sahaja. Rupa bentuk, motif yang dipaparkan adakalanya mencukupi bagi memberikan impak istimewa di kawasan berkenaan. Hakikat bahawa tidak semua pasu perlu diisi dengan tumbuhan juga terbukti apabila kita mendapati bahawa pasu juga begitu popular digunakan sebagai arca atau sebahagian daripada elemen taman-taman air dan dikenali sebagai pasu pancuran. Pasu-pasu sebegini disusun dan diolah dengan gaya yang tersendiri bagi menghasilkan arca pancuran air yang menarik.





1. Mengenalpasti fungsi.

Sebelum penggunaan pasu dilaksanakan di kawasan berkenaan, kenalpasti fungsi yang boleh diketengahkan. Selain hiasan estatik, memberi impak landskap kejur secara segera dan unik, terdapat fungsi lain juga yang disesuaikan mengikut keperluan seperti hadangan atau dijadikan tong sampah yang menarik!

2. Menentukan identiti.

Penentuan identiti bukanlah terhad untuk melambangkan daerah atau kenegerian semata-mata. Apa yang penting ialah melahirkan ‘sense of place’ pada taman atau lokasi berkenaan. Melahirkan imej-imej tempatan boleh diolah dengan pelbagai cara. Taman-taman Anggerik umpamanya akan kelihatan sedondon sekiranya pasu yang digunakan untuk hiasan mempunyai motif anggerik pilihan. Begitu juga untuk kawasan yang terkenal dengan produk buah-buahan. Mengolah pasu-pasu hiasan dengan rupabentuk buah-buahan tertentu mengikut kesesuaian mungkin akan mudah memberi ingatan istimewa kepada pengunjung yang bertamu ke bandar berkenaan! Contoh yang ditunjukkan oleh sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan – menggunakan model bekas makanan tradisional negeri berkenaan merupakan idea yang menarik dan praktikal. Apa pandangan anda melihat pasu bermotifkan ‘dinasor’ di sebuah taman Halia? Aneh bukan?

3. Memahami Skala.

Saiz pasu yang digunakan sebaiknya bersesuaian dengan keadaan setempat. Kawasan bandar yang sempit dan terhad mungkin tidak memerlukan saiz pasu yang besar begitu juga sebaliknya. Sekiranya saiz yang besar diperlukan juga, berkemungkinan untuk mencipta kelainan atau sebagai focal point kepada kawasan berkenaan. Pasu yang terlalu kecil bersaiz sekadar untuk halaman rumah adakalanya tidak memperlihatkan apa-apa impak di lokasi berkenaan.


4. Fahami sensitiviti.

Corak, motif atau rekaan rupabentuk pasu perlu mengambilkira sensitiviti masyarakat setempat dan sensitiviti agama. Masalah ini boleh diatasi melalui sikap saling menghormati sesama budaya yang wujud istimewanya di dalam masyarakat majmuk


5. Keupayaan menyelenggara.

Pastikan elemen penyelenggaraan diambilkira apabila anda ingin memasukkan pasu di dalam rekabentuk landkap anda. Kelemahan di dalam aspek penyelenggaraan menyebabkan kita kerap menyaksikan sebahagian pasu-pasu di kawasan bandar terbiar samada berlumut, kotor atau mempunyai tanaman yang mati di dalamnya.


6. Memahami bajet atau keperluan peruntukan

Walau apa pun perancangan yang ingin dilaksanakan. Peruntukan bagi perlaksanaan perlu mencukupi. Penekanan juga perlu dilakukan terhadap keupayaan penyelenggaraan yang rendah bagi memastikan landskap lembut atau kejur yang dibina tidak terabai.




Berikut merupakan beberapa contoh pasu-pasu yang digunakan atau diperagakan di dalam kawasan bandar. Tempat anda pula bagaimana? Kongsikan pasu-pasu dan peragaan yang menarik di kawasan anda untuk rujukan rakan-rakan yang lain...

Semoga kehadiran pasu di kawasan bandar atau pekan ini, akan turut melambangkan identiti yang boleh dibanggakan bersama...





































Artikel disediakan oleh mytaman






No comments:

Post a Comment