Friday, July 30, 2010

Membina Taman Pasu - pasuan


Sekiranya halaman rumah anda agak kecil dan anda masih berhasrat untuk memiliki sebuah taman di dalamnya maka pilihan terbaik untuk anda ialah membina taman bertemakan pasu-pasuan. Sesetengah daripada kita memperuntukkan pelbagai alasan semata-mata bagi meyakinkan bahawa kawasan tanpa ruangan tanah tidak akan mungkin menjadi sebuah taman namun alasan ini boleh diatasi sekiranya kita berminat dan mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.

Taman pasuan merupakan pilihan yang yang sesuai terutama kepada mereka yang mempunyai halaman yang kecil serta waktu yang terhad untuk berinteraksi dengan tumbuhan mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah membuat pemilihan tanaman yang tepat, bersesuaian dengan lokasi dan menyusunnya dengan kemas serta teratur. Di dalam menyediakan taman pasuan, pemilihan pasu turut memainkan peranan yang cukup penting. Pastikan anda memilih pasu-pasu dengan karektor-karektornya yang tersendiri yang boleh memberi daya tarikan di dalam peragaan landskap berkenaan. Ini bertujuan untuk menghilangkan keadaan monotonous yang ujud di dalam seni susun-atur taman.


Memilih tema pasuan bukanlah bermakna anda harus mengisi setiap pasu dengan tumbuhan. Pilihlah pasu yang sesuai untuk anda peragakan spesies tumbuhan yang istimewa atau serlahkanlah elemen air dengan menggunakan pasu bagi menghidupkan lagi suasana. Penggunaan elemen air ini akan mencetus bunyi percikan atau deruan semulajadi dan mewujudkan suasana agar kelihatan segar dan dinamik.

Teknik penggunaan pasu yang sama dan berulang boleh anda gunakan bagi menghasilkan kesan turutan dan pandu arah di dalam skim landskap anda. Pastikan juga pasu-pasu berkenaan mempunyai ketinggian yang pelbagai bagi mengimbangi kesesuaian jenis tumbuhan yang digunakan. Sesetengah pasu mungkin digunakan sebagai 'kaki' bagi meninggikan pasu yang lain.


Penekanan terhadap warna dan jenis pasu turut mempengaruhi penyerlahan taman anda. Terlalu banyak campuran jenis pasu boleh menjadikan laman anda kelihatan seperti cacamerba. Penggunaan pasu dengan warna yang terang seperti biru, merah atau ungu umpamanya memungkinkan penggayaan taman anda bersifat ke arah kontemporari. Kesannya akan lebih ketara apabila pasu-pasu berkenaan dibuat dalam bentuk bersegi. Penggunaan pasu yang berpenjuru bulat akan membantu menjadikan taman kelihatan lebih natural dan bersahaja. Bandingkan warna dinding dengan pasu anda agar kelihatan kontras atau sedondon.



Anda ingin berkongsi taman anda dengan pengunjung mytaman-ilhamnurani. Hubungi kami untuk singgah di rumah anda.

Artikel oleh mytaman
(artikel ini telah dibuat penambahbaikan pada 4 Dis 2011 - mytaman@mytaman ilhamnurani)

1 comment: