Friday, July 30, 2010

Membina Taman Pasu - pasuan


Sekiranya halaman rumah anda agak kecil dan anda masih berhasrat untuk memiliki sebuah taman di dalamnya maka pilihan terbaik untuk anda ialah membina taman bertemakan pasu-pasuan. Sesetengah daripada kita memperuntukkan pelbagai alasan semata-mata bagi meyakinkan bahawa kawasan tanpa ruangan tanah tidak akan mungkin menjadi sebuah taman namun alasan ini boleh diatasi sekiranya kita berminat dan mempunyai kesungguhan untuk melaksanakannya.

Taman pasuan merupakan pilihan yang yang sesuai terutama kepada mereka yang mempunyai halaman yang kecil serta waktu yang terhad untuk berinteraksi dengan tumbuhan mereka. Apa yang perlu dilakukan ialah membuat pemilihan tanaman yang tepat, bersesuaian dengan lokasi dan menyusunnya dengan kemas serta teratur. Di dalam menyediakan taman pasuan, pemilihan pasu turut memainkan peranan yang cukup penting. Pastikan anda memilih pasu-pasu dengan karektor-karektornya yang tersendiri yang boleh memberi daya tarikan di dalam peragaan landskap berkenaan. Ini bertujuan untuk menghilangkan keadaan monotonous yang ujud di dalam seni susun-atur taman.


Memilih tema pasuan bukanlah bermakna anda harus mengisi setiap pasu dengan tumbuhan. Pilihlah pasu yang sesuai untuk anda peragakan spesies tumbuhan yang istimewa atau serlahkanlah elemen air dengan menggunakan pasu bagi menghidupkan lagi suasana. Penggunaan elemen air ini akan mencetus bunyi percikan atau deruan semulajadi dan mewujudkan suasana agar kelihatan segar dan dinamik.

Teknik penggunaan pasu yang sama dan berulang boleh anda gunakan bagi menghasilkan kesan turutan dan pandu arah di dalam skim landskap anda. Pastikan juga pasu-pasu berkenaan mempunyai ketinggian yang pelbagai bagi mengimbangi kesesuaian jenis tumbuhan yang digunakan. Sesetengah pasu mungkin digunakan sebagai 'kaki' bagi meninggikan pasu yang lain.


Penekanan terhadap warna dan jenis pasu turut mempengaruhi penyerlahan taman anda. Terlalu banyak campuran jenis pasu boleh menjadikan laman anda kelihatan seperti cacamerba. Penggunaan pasu dengan warna yang terang seperti biru, merah atau ungu umpamanya memungkinkan penggayaan taman anda bersifat ke arah kontemporari. Kesannya akan lebih ketara apabila pasu-pasu berkenaan dibuat dalam bentuk bersegi. Penggunaan pasu yang berpenjuru bulat akan membantu menjadikan taman kelihatan lebih natural dan bersahaja. Bandingkan warna dinding dengan pasu anda agar kelihatan kontras atau sedondon.



Anda ingin berkongsi taman anda dengan pengunjung mytaman-ilhamnurani. Hubungi kami untuk singgah di rumah anda.

Artikel oleh mytaman
(artikel ini telah dibuat penambahbaikan pada 4 Dis 2011 - mytaman@mytaman ilhamnurani)

Wednesday, July 28, 2010

Pasu-pasuan

Pasu dan Kepelbagaiannya



Ada pelbagai jenis pasu yang biasa digunakan di dalam senihias taman. Pasu-pasu ini kebiasaannya dipilih berdasarkan kesesuaian lokasi dan tujuan penggunaannya. Umumnya pasu digunakan sebagai bekas tanaman namun kreativiti menyaksikan penggunaannya berkembang seiring dengan perkembangan landskap itu sendiri. Pasu kini bukan lagi terhad untuk mempamerkan tanaman cantik atau sekadar bekas bunga-bungaan. ia diolah untuk melambangkan identiti dan sangat popular untuk digunakan sebagai objek tarikan di dalam binaan pancuran- pancuran air. Pasu bukan sekadar diperbuat daripada plastik atau tanahliat. Kesenian dan kreativiti membuahkan kepelbagaian yang sentiasa memikat. Sekiranya anda berminat menggunakan pasu sebagai salah satu elemen ataupun perabot landskap anda, perhatikan perbandingan yang telah kami rekodkan.


Pasu Plastik

1. Murah

Pasu buatan plastik ditawarkan pada harga yang lebih murah . Harga yang murah dengan aneka pilihan mampu memikat pilihan pengguna. Pasu yang murah akan membantu penjimatan kos dalam pengeluaran produk bahan tanaman terutama di peringkat awalan.

2. Ringan

Pasu yang ringan senang dibawa dan mengurangkan masalah pengangkutan. Ini membantu terutamanya jika memerlukan dalam kuantiti yang banyak. Pasu yang ringan juga memerlukan tenaga yang sedikit untuk mengangkatnya. Pasu yang terlampau berat boleh menyumbang kepada beberapa kemalangan kecil termasuklah pada sendi anggota mereka yang mengangkutnya. Penggunaan pasu yang ringan membantu memudahkan kerja-kerja mengubah kedudukan pasu bagi tujuan peragaan.

3. Senang dicuci

Berbanding dengan pasu dari jenis Terra Cotta, pasu plastik lebih senang untuk dicuci. Amalan membersihkan pasu sepatutnya dibudayakan. Sesetengah pasu plastik digunakan berulangkali disebabkan menggunakan tanaman jenis annuals atau semusim. Pasu-pasu yang perlu diganti dengan tanaman yang baru lebih nampak kemas dan bersih setelah dicuci. Amalan membersihkan pasu dapat mengelakkan dari berlakunya jangkitan penyakit.

4. Terdapat dalam pelbagai warna

Kepelbagaian warna yang ada pada pasu plastik membolehkan penggemar tanaman berpasu membuat pilihan bagi memadankannya dengan olahan peragaan.

5. Sesuai untuk tumbuhan kecil

Pasu yang ringan dengan pelbagai warna pastinya sesuai untuk pelbagai tumbuhan ,istimewa untuk tumbuhan yang kecil. Adakalanya penggunaan pasu plastik bersifat sementara yakni digunakan diperingkat awal sebelum diganti ke dalam pasu yang lebih besar.

Antara kekurangan menggunakan pasu plastik pula termasuklah:

1. Mudah tumbang

Keadaannya yang ringan menyebabkan ianya kurang sesuai digunakan untuk tumbuhan berkanopi besar yang membolehkannya mudah tumbang.

2. Tidak polos

Pasu plastik samasekali tidak mempunyai rongga pada bahagian dinding pasu. Menyebabkan air lambat kering. Air yang lambat kering bermakna media tanaman sentiasa lembab. Keadaan media yang sentiasa lembab boleh merosakkan akar. Walaubagaimanapun kemahiran memahami tempoh keperluan air menggunakan pasu plastik akan membantu mengurangkan kerja-kerja menyiram.










Pasu Tanah Liat – Terra cotta

1. Berat
Pasu terra-cotta/tanah liat lebih berat menjadikannya lebih stabil bagi tujuan pameran pokok atau tumbuhan. Sekiranya anda ingin menggunakan tumbuhan yang lebih besar untuk dipamerkan maka pemilihan pasu dari jenis terra-cotta adalah lebih sesuai.

2. Pelbagai corak dan saiz

Pasu terra-cotta juga tersedia di dalam pelbagai bentuk, corak dan saiz. Pembuat pasu ini pula kian memahami kehendak dan selera pelanggan dengan menyediakan motif-motif ukiran tertentu yang boleh dipadankan dengan tema landskap atau taman yang dibina. Sesetengah pasu terracotta turut diberi sentuhan warna yang menarik terutama pada corak yang dilukis.

3. Penampilan lebih menarik

Pasu terracotta selalunya dipasarkan dalam warna coklat , perang, tanah atau diistilahkan sebagai “rustic”. Penampilannya tersendiri dan boleh menjadi focal point yang menarik.


Walaubagaimanapun pasu terra-cotta agak sukar dicuci. Sesetengah pasu dengan form atau rupabentuk buyung atau gemuk dan tirus memerlukan berus yang panjang untuk membersihkannya. Anda boleh masukkan sedikit garam dan sedikit air serta menggoncangkan bagi mengeluarkan kekotoran di dalam pasu berlkenaan.

Kelemahan pasu terra-cota ialah ianya sangat mudah pecah. Kerja-kerja mengangkatnya perlu dilakukan secara berhati-hati. Keadaannya yang berat menyukarkan sedikit pengendalian pasu jenis ini. Dindingnya yang berongga atau polos menyebabkan air media lebih cepat kering.

Tuesday, July 27, 2010

Kolam Hiasan dan Taman Air

Pond and Water Features

Memiliki sebuah kolam atau taman air merupakan keinginan kepada sebahagian besar daripada penggemar taman. Apa tidaknya, kehadiran kolam atau pancuran ini sebenarnya menghidupkan lagi penyerlahan taman yang dibina. Deruan atau percikan aliran air yang berterusan bagaikan muzik latar yang membantu memberikan ketenangan minda. Minda yang tenang pastinya akan dapat membantu melorongkan individu tersebut untuk membuat keputusan yang lebih tepat, adil dan bermakna.

Begitulah peri pentingnya elemen air di dalam aktiviti landskap atau senihias taman. Memilikinya bukan sekadar untuk memberikan nilai estatik tetapi menyumbang secara sampingan di dalam mengimbangi mood dan pemikiran mereka yang menghayatinya. Taman Air boleh terdiri daripada pelbagai bentuk dan rekaan. Bergantung kepada keperluan dan fungsinya, taman-taman air selalunya mengundang minat penguna taman untuk menghampirinya terutama dari kalangan kanak-kanak.

Membina sebuah taman air memerlukan beberapa penelitian terutama dari segi penggunaannya. Sesetengah taman air hanyalah sekadar untuk diperhati manakala terdapat juga taman air yang dibina untuk tujuan berinteraksi. Walau apa pun kaedah penggunaannya ,mempelajari tips untuk membina sesebuah taman air mugkin akan dapat membantu merealisasikan impian anda!

Berkongsilah maklumat atau cerita mengenai Taman Air anda, pasti ramai yang ingin mengetahuinya…hantarkan artikel anda di mytaman@gmail.com.

...


...


...


Sunday, July 25, 2010

Penggunaan Pasu di Kawasan Bandar dan Pekan


Kepentingan dan Fungsi

Sepertimana peranan yang diperlukan penggunaannya di halaman-halaman kediaman, pasu atau kotak-kotak tanaman juga merupakan satu keperluan bagi membentuk atau mewujudkan keistimewaan sesebuah bandar. Apa yang ketara ialah penggunaan pasu di kawasan bandar sebaiknya mengikut skala yang sesuai dengan lokasi di mana ianya digunakan. Penggunaan pasu bersaiz kecil atau agak sederhana di kawasan yang luas dan besar tidak mendatangkan banyak impak meskipun bilangannya banyak. Keadaan sebegini boleh diperbaiki dengan menggantikan pasu yang lebih besar meskipun kuantitinya sedikit. Bilangan pasu yang digunakan pastinya dipengaruhi oleh keperluan atau rekabentuk peragaan yang dicadangkan oleh pihak Arkitek Landskap. Selain daripada itu susun atur pasu-pasuan di kawasan bandar juga boleh berfungsi sebagai hadangan bagi menghalang kemasukan kenderaan ke kawasan-kawasan tertentu istimewanya bagi menggalakkan pengguna berjalan kaki.

Tips Peragaan Pasu di Kawasan Taman, Bandar atau Pekan

Sebahagian daripada pasu yang banyak kedapatan di kawasan bandar ditanam dengan tumbuhan-tumbuhan popular bagi menambahkan lagi nilai estatika pasu berkenaan. Namun hakikatnya, tidak semua pasu yang dipamerkan perlu diisi dengan tanaman! Sesetengah pasu cukup sekadar berdiri dengan dirinya sahaja. Rupa bentuk, motif yang dipaparkan adakalanya mencukupi bagi memberikan impak istimewa di kawasan berkenaan. Hakikat bahawa tidak semua pasu perlu diisi dengan tumbuhan juga terbukti apabila kita mendapati bahawa pasu juga begitu popular digunakan sebagai arca atau sebahagian daripada elemen taman-taman air dan dikenali sebagai pasu pancuran. Pasu-pasu sebegini disusun dan diolah dengan gaya yang tersendiri bagi menghasilkan arca pancuran air yang menarik.





1. Mengenalpasti fungsi.

Sebelum penggunaan pasu dilaksanakan di kawasan berkenaan, kenalpasti fungsi yang boleh diketengahkan. Selain hiasan estatik, memberi impak landskap kejur secara segera dan unik, terdapat fungsi lain juga yang disesuaikan mengikut keperluan seperti hadangan atau dijadikan tong sampah yang menarik!

2. Menentukan identiti.

Penentuan identiti bukanlah terhad untuk melambangkan daerah atau kenegerian semata-mata. Apa yang penting ialah melahirkan ‘sense of place’ pada taman atau lokasi berkenaan. Melahirkan imej-imej tempatan boleh diolah dengan pelbagai cara. Taman-taman Anggerik umpamanya akan kelihatan sedondon sekiranya pasu yang digunakan untuk hiasan mempunyai motif anggerik pilihan. Begitu juga untuk kawasan yang terkenal dengan produk buah-buahan. Mengolah pasu-pasu hiasan dengan rupabentuk buah-buahan tertentu mengikut kesesuaian mungkin akan mudah memberi ingatan istimewa kepada pengunjung yang bertamu ke bandar berkenaan! Contoh yang ditunjukkan oleh sesetengah Pihak Berkuasa Tempatan – menggunakan model bekas makanan tradisional negeri berkenaan merupakan idea yang menarik dan praktikal. Apa pandangan anda melihat pasu bermotifkan ‘dinasor’ di sebuah taman Halia? Aneh bukan?

3. Memahami Skala.

Saiz pasu yang digunakan sebaiknya bersesuaian dengan keadaan setempat. Kawasan bandar yang sempit dan terhad mungkin tidak memerlukan saiz pasu yang besar begitu juga sebaliknya. Sekiranya saiz yang besar diperlukan juga, berkemungkinan untuk mencipta kelainan atau sebagai focal point kepada kawasan berkenaan. Pasu yang terlalu kecil bersaiz sekadar untuk halaman rumah adakalanya tidak memperlihatkan apa-apa impak di lokasi berkenaan.


4. Fahami sensitiviti.

Corak, motif atau rekaan rupabentuk pasu perlu mengambilkira sensitiviti masyarakat setempat dan sensitiviti agama. Masalah ini boleh diatasi melalui sikap saling menghormati sesama budaya yang wujud istimewanya di dalam masyarakat majmuk


5. Keupayaan menyelenggara.

Pastikan elemen penyelenggaraan diambilkira apabila anda ingin memasukkan pasu di dalam rekabentuk landkap anda. Kelemahan di dalam aspek penyelenggaraan menyebabkan kita kerap menyaksikan sebahagian pasu-pasu di kawasan bandar terbiar samada berlumut, kotor atau mempunyai tanaman yang mati di dalamnya.


6. Memahami bajet atau keperluan peruntukan

Walau apa pun perancangan yang ingin dilaksanakan. Peruntukan bagi perlaksanaan perlu mencukupi. Penekanan juga perlu dilakukan terhadap keupayaan penyelenggaraan yang rendah bagi memastikan landskap lembut atau kejur yang dibina tidak terabai.




Berikut merupakan beberapa contoh pasu-pasu yang digunakan atau diperagakan di dalam kawasan bandar. Tempat anda pula bagaimana? Kongsikan pasu-pasu dan peragaan yang menarik di kawasan anda untuk rujukan rakan-rakan yang lain...

Semoga kehadiran pasu di kawasan bandar atau pekan ini, akan turut melambangkan identiti yang boleh dibanggakan bersama...





































Artikel disediakan oleh mytaman






Friday, July 23, 2010

Taman Pasu-pasuan - Siri 2


Pemilihan Pasu

Tidak semua pasu sesuai untuk digunakan di dalam taman anda. Sesetengah taman dengan temanya yang tersendiri seperti Taman Jepun agak janggal sekiranya dipadankan dengan pasu labu peram dari negeri Perak. Pemilihan pasu di dalam susunatur taman atau binaan landskap membawa maksud memilih pasu yang sesuai atau sedondon dengan imej taman yang dibina. Pasu-pasu yang terdapat di pasaran terdiri daripada beraneka jenis. Adakalanya boleh menyebabkan kita “gelap mata” untuk memilikinya. Saiz pasu-pasu ini pula pelbagai. Dari yang bersaiz kecil hinggalah ke saiz besar, pasu-pasu ini pastinya mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Bagi golongan penggemar taman termasuklah para suri rumah, pemilihan pasu adakalanya tidak dibuat mengikut keperluan. Pemilihan yang dibuat akibat “tertarik” dengan rekabentuk pasu adakalanya praktikal tetapi berkemungkinan juga tidak menepati keperluan taman anda. Terlalu banyak rupa bentuk pasu yang dipilih boleh menyebabkan olahan landskap kita kelihatan cacamerba. Keadaan bertambah rumit bilamana warna pasu yang dipilih juga pelbagai. Jadi, sebagai panduan :

1. Fokuskan jenis pasu yang hendak digunakan.

2. Tentukan jenisnya. Terdapat pasu yang diperbuat daripada tanah liat dan terdapat juga yang diperbuat daripada plastik. Bahkan, ada juga yang diperbuat daripada simen. Setiap satu mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

3. Fikirkan tentang bahan tanaman yang akan digunakan untuknya. Spesies dipilih mengikut kesesuaian saiz pasu.

4. Pilihlah pasu dalam saiz dan rupa bentuk yang seragam bagi menzahirkan imej turutan atau ulangan. Awas! Elakkan ulangan yang berlebihan. Taman yang baik seharusnya mampu memberikan kepelbagaian imej atau pemandangan bagi menghilangkan kebosanan.

5. Selami kreativiti diri anda. Pasu bukannya bermakna apa yang terdapat di luar sana! Pasu boleh terdiri dari pelbagai objek yang disesuaikan menjadi pasu! Mengolah sesuatu yang baru dan unik mungkin akan lebih memberi kepuasan kepada diri anda! Ciptalah pasu anda sendiri!

6. Sekali lagi carilah identiti dan personaliti taman anda. Jika sememangnya taman anda “Taman Seribu Pasu” pelbagai pasu pun apalah salahnya….


mytaman
kini @ ilhamnurani
kembali ke halaman bina taman

Thursday, July 22, 2010

Taman Pasu-pasuan








Binalah Taman Pasuan Anda!
Start up your container garden!
Tidak semua senibina taman atau landskap menumpukan pengolahan di permukaan tanah semata-mata. Dalam keadaan tertentu, dengan peruntukan ruang yang terhad, penggunaan pasu-pasuan atau bekas-bekas penanaman ternyata lebih berfungsi dan membawa makna.


Penanaman dan peragaan tanaman menggunakan pasu atau bekas-bekas tanaman (containers) mempunyai tarikan dan keunikannya yang tersendiri. Taman pasu-pasuan selalunya menjadi pilihan apabila ruang menanam begitu terhad atau mungkin tidak ada sama sekali! Di kawasan-kawasan bandar, pasuan-pasuan merupakan salah satu daripada elemen kejur yang popular dan praktikal. Penggunaan pasu terutamanya di kawasan-kawasan yang mempunyai permukaan yang kejur seperti kaki-kaki lima dan pembahagi jalan, merupakan langkah yang berkesan untuk mengimbangi elemen hijau dengan elemen binaan. Pasu juga, adakalanya boleh dan turut menjadi pilihan sebagai sebahagian daripada perabot-perabot taman yang unik dan menarik




Penggunaan pasu tidak semestinya terhad untuk kegunaan rumah sahaja, Penggunaan di rumah selalunya tertumpu kepada aneka rupabentuk dan jenis mengikut kegemaran empunya taman.

Ada yang menggunakan untuk menonjolkan keseragaman tidak kurang juga yang menggunakannya untuk mengumpul sebanyak mungkin tanaman. Pasu turut sesuai untuk dijadikan bekas penanaman sayur-sayuran atau ulam-ulaman.



Sesetengah pihak berkuasa tempatan memilih untuk menggunakan pasu sebagai elemen focal point mereka di dalam senihias bandar.

Pemilihan ini meskipun kelihatan mudah, namun tetap mampu memberikan tarikan jika ianya berjaya menyerlahkan identiti tempatan dengan persembahan yang menarik.


Penggunaan pasu-pasuan di dalam kawasan pekan ataupun bandar selalunya mengambilkira kemudahan pengendalian dan penyelenggaraan , pemilihan rekabentuk yang tersendiri dan disuntik pula dengan impak saiz yang sesuai. Elemen-elemen ini pastinya akan mampu memberikan kesan ingatan yang tersendiri terhadap lokasi berkenaan.




kepelbagaian pasu di dalam bandar



pasu turut digunakan secara meluas di dalam kawasan taman awam dan kaki lima








Secara umumnya penggunaan pasu di dalam satu-satu skim landskap itu kebiasaannya dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pertamanya ialah ruang. Ruang penanaman yang terhad akan menyebabkan penggemar taman memilih pasu sebagai alternatif untuk memperolehi elemen hiasan hijau di halaman mereka. Kepelbagaian bentuk dan saiz pasu dengan aneka corak dan warna menjadi faktor kedua kenapa pasu menjadi pilihan penggemar taman. Mempunyai pasu dengan rekaannya memaparkan motif-motif tempatan boleh menghasilkan ‘sense of place “ kepada lokasi berkenaan.


Pasu mempunyai kaitan rapat dengan budaya kehidupan masyarakat satu-satu negara. Kehadiran pasu di dalam satu-satu skim landskap boleh menggambarkan tema landskap di lokasi berkenaan. Laman Melayu turut mempelbagaikan penggunaan pasu dan disesuaikan sebagai salah satu unsur tempatan.




Rekaan landskap berkonsepkan Halaman Melayu turut menggunakan pasu sebagai elemen peragaannnya.





Artikel oleh mytaman (mytaman@gmail.com)

p/s : foto-foto penambahbaikan telah dimuatnaik pada April 1, 2012

Monday, July 12, 2010

Taman Dapur - Siri 2

Peragaan, pemilihan dan susunhias tanaman
untuk Taman dapur
Setting up your edible garden


Taman dapur juga perlu bergaya!
Make it as  a good looking garden!


Menyebut sahaja taman dapur mungkin ada di kalangan kita membayangkan sebuah ruang yang agak hambar disebabkan bahan tanamannya yang kurang menyerlah dari segi warna. Namun spesies-spesies pilihan di taman dapur mempunyai karektor dan teksturnya yang tersendiri. Sentuhan kreatif anda untuk ’bermain’ dengan kelebihan ini insyaAllah akan menghasilkan taman dapur yang bergaya!

Some of them or most, are not chosen because of their flowers. But  you can play around with their characters and textures! 

Perhatikan kepada beberapa karektor tanaman yang anda pilih. Sebahagiannya tumbuh tegak memberikan lindungan contohnya lengkuas manakala sebahagian lagi tegak merumpun contohnya Serai. Terdapat juga spesies yang mempunyai daun yang agak besar seperti kunyit yang boleh menghasilkan tekstur yang lebih kasar serta tumbuhan – tumbuhan herba yang rendah seperti daun bawang atau merayap seperti pegaga.Tumbuhan ini sekiranya diatur dengan baik boleh menghasilkan peragaan yang menarik di bahagian dapur anda.



Berikan sentuhan jiwa seni anda
Give your personal touch!

Elakkan rekabentuk yang monotonous. Pelbagaikan ketinggian batas tanaman. Gunakan bahan binaan yang menarik ataupun yang anda minati untuk dijadikan border tanaman. Penggunaan ’railway slippers’ yang usang, batu-batu sungai pelbagai saiz mungkin mampu memberikan sentuhan peragaan yang tersendiri
Put some garden furniture in. Mixed the plant arrangement with few species.




Ringkas juga menarik!
Sometime it just better to have a simple one 


Gunakan pasu samada plastik atau terracotta untk taman dapur anda. Pilihlah samada berbentuk kotak (empat segi bujur) ataupun bulat. Susun pasu-pasu ini dengan teknik peragaan tersendiri. Ambil kira keperluan ”turutan” atau ”ulangan’. Pelbagaikan Gabungan Ketinggian dan saiz pasu sekiranya disusun secara berkelompok.







contoh edible garden





Anda juga mungkin meminati artikel berikut :

- Mengenali taman dapur
- Tips menggayakan taman herba
- Spesies herba pilihan

Taman Dapur -Siri 1


Mengenali Taman Dapur

Sama seperti Taman Herba, Taman Dapur atau Kitchen Garden sering menjadi pilihan utama sebagai salah satu tema di dalam rekabentuk sesebuah taman. Taman Dapur merupakan taman yang mengeluarkan hasil , produktif, ditanami tumbuhan yang boleh digunakan untuk keperluan masakan.
Tumbuh-tumbuhan di dalam sesebuah taman dapur ini boleh terdiri daripada gabungan spesies rempah-ratus, herba, ulam-ulaman, sayur-sayuran ataupun bunga-bungaan. Gabungan spesies ini pula diolah, diatur dengan sentuhan rekabentuk yang menarik. Kehadiran taman atau kebun dapur selalunya membantu mereka yang "bertugas' di dapur untuk memperolehi keperluan atau "aksesori" bahan masakan dengan mudah. Pemilihan tema Kitchen garden juga selalunya bertujuan untuk disesuaikan dengan halaman yang sedia ada berdekatan dengan ruang dapur rumah berkenaan.



Taman Dapur turut mempunyai kaitan rapat dengan Taman Ulaman dan Taman Sayuran (sebahagian daripada kita memanggilnya Vegi garden ataupun Edible garden). Perbezaan yang agak ketara terserlah di sebalik peratus penggunaan jenis bahan tanaman.
Sesetengah penggiat taman cenderung untuk menamakan taman dapur sebagai Edible Garden. Ini mungkin disebabkan kebanyakan tumbuhan yang ditanam mengeluarkan hasil yang boleh dimakan!





Artikei oleh : mytaman

Anda mungkin turut meminati artikel berikut :

- Peragaan, pemilihan spesies dan susunhiastaman dapur

Taman Herba


Bagaimana Menanam Tumbuhan Herba


Tumbuhan-tumbuhan herba boleh ditanam secara berbatas atau tidak berbatas. Penanaman menggunakan kaedah berbatas memudahkan pengasingan zon spesies, penyelenggaraan tanaman dan membolehkan penggunaan media yang baik secara keseluruhannya. Adakalanya juga penggunaan batas memudahkan penggantian tumbuhan-tumbuhan herba kecil apabila rosak atau diserang penyakit. Di negara-negara barat , selain daripada ditanam di tepi-tepi pagar, tumbuhan herba juga ditanam sepanjang laluan pejalan kaki atau secara berpetak-petak pada lokasi-lokasi utama dan dijadikan sebagai titik tumpu Di sesetengah negara Timur Tengah, tumbuhan herba seperti kemangi ditanam di tepi-tepi jalan ataupun di hadapan rumah mereka. Apa yang perlu ialah mengenalpasti spesies yang dipilih sesuai untuk ditanam di lokasi berkenaan.





Beberapa spesies seperti pegaga, misai kucing, mas cotek, kacip Fatimah dan Tongkat Ali merupakan antara spesies yang popular yang sering digunakan di dalam skim penanaman. Meskipun begitu pemilihan tanaman tidaklah semestinya terhad dengan spesies yang dinyatakan tadi, masih banyak spesies-spesies lain seperti serai, kunyit, lengkuas, delima, bungaraya, aloevera, kadok dan pelbagai lagi yang boleh digunakan. Kesesuaian dan pemilihan spesies kadangkala dipengaruhi oleh lokasi, nama tempat ataupun tarikan tertentu yang terdapat di tempat berkenaan.





Penanaman tumbuhan herba juga tidak perlu terhad di tanah lapang. Dalam keadaan tertentu penggunaan pasu juga boleh dikatakan sebagai praktikal. Penanaman tumbuhan herba di dalam pasu turut memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan seperti pembuangan rumpai. Selain daripada itu penanaman di dalam pasu memudahkan kerja-kerja mengubahsuai kedudukan tumbuhan berkenaan bagi menggalakkan pertumbuhan yang lebih baik. Kaedah fertigasi juga sesuai bagi penanaman herba yang ditanam untuk memperolehi hasilnya.



Istilah tanaman herba adakalanya membawa pemahaman yang berbeza. Jika dulunya ia lebih kepada tumbuhan –tumbuhan kecil yang mempunyai khasiat perubatan samada tumbuh liar dan jarang digunakan sebagai tanaman hiasan, kini tumbuhan herba telah diperluaskan maknanya hingga kepada pokok-pokok besar samada yang digunakan sebagai pokok hiasan atau tidak. Secara peribadi saya masih menggunakan istilah herba atau herbs ini untuk tumbuhan kecil umpama rumpai di kawasan penanaman. Sementara tumbuhan atau pokok yang besar pula saya lebih selesa sekiranya dapat dikenali sebagai “pokok-pokok bernilai perubatan”
(Artikel ini pernah disiarkan di www.mytaman.com namun kini ia dipaparkan kembali dengan beberapa penambahbaikan di laman ilhamnurani - penulis/mytaman)











Taman Herba


Membina Taman Herba


Membina taman herba bukanlah sesukar mana. Apa yang penting ialah mempunyai koleksi tumbuhan herba yang baik dan mengatur penyusunannya dari segi peragaan. Lebih menarik dan berfungsi sekiranya kita juga mengetahui akan khasiat dan keistimewaan herba yang kita tanam. Penanaman pokok atau tumbuhan herba memerlukan kita untuk memahami keperluan tumbuhan yang hendak ditanam. Sesetengah tumbuhan memerlukan kawasan yang teduh atau separa redup, manakala sebahagiannya lagi boleh ditanam di kawasan yang terbuka. Penanaman tumbuhan herba dengan kefahaman mengenai keperluan pertumbuhan setiap spesies yang ditanam akan mengurangkan kerja-kerja penyelenggaraan untuk jangkamasa panjang.

Pembentukan sesebuah taman herba secara lebih khusus memerlukan beberapa pertimbangan yang lebih jelas. Pertimbangan ini termasuklah kesan atau impak yang ingin diperolehi dari pembangunan taman berkenaan. Penyediaan tanda nama bagi tujuan pendidikan, pada setiap spesies yang ditanam, sebaiknya jelas dan dapat membantu pengunjung dalam menerokai kepelbagaian khasiat yang terkandung di dalam tanaman berkenaan.
Sesetengah taman herba menyuntik elemen yang mampu untuk merangsang pancaindera terutamanya deria bauan yang dapat dikesan pada aroma dedaunan atau bunganya. Sebahagiannya lagi mencuri perhatian melalui serlahan bunganya yang menarik manakala sebahagiannya lagi mampu membawa pengunjungnya ke tahap ketenangan melalui penghargaan terhadap kelebihan tumbuhan itu sendiri sebagai penawar semulajadi.
(Artikel ini pernah dikeluarkan di www.mytaman.com sebelumnya. Kini ia dipaparkan kembali di laman mytaman ilhamnurani dengan sedikit penambahbaikan-penulis)

Monday, July 5, 2010

Focal Point

Titik Tumpu

Secara tidak kita sedari titik tumpu atau focal point sememangnya mempengaruhi keistimewaan taman yang kita bina. Samada ianya sebuah taman kecil mahupun sebuah taman awam, kehadiran focal point memberikan tarikan yang tersendiri pada sesebuah taman.

Apakah focal point anda? Sebatang pokok yang unik dengan bunganya yang menarik? Sebuah dinding dengan kemasan batuan rustic dilengkapi pula dengan pancuran air yang melimpah? Atau sebuah wakaf dengan kemasan binaan dan rekabentuk yang memikat? Apa jua yang anda gunakan termasuklah pasu, tumbuhan, pancuran air atau arca-arca, pastinya terdiri dari kalangan koleksi atau rekaan istimewa ataupun unik yang secara asasnya bertujuan untuk diberikan atau mendapat penumpuan di dalam binaan taman anda.




Pasu dan water features sering dijadikan titk tumpu di dalam rekabentuk landskap



Fikirkanlah akan focal point anda sendiri. Perhatikan bagaimana penggiat taman yang lain mengolah atau memilih focal point mereka, Cara mudah ialah melawati tapak-tapak semaian yang menyediakan kemudahan ini dengan pelbagai pilihan. Subjek yang anda pilih untuk dijadikan focal point biarlah sesuai dengan diri dan jiwa anda terutamanya untuk laman peribadi. Subjek ini juga perlu sesuai dengan persekitaran bandar sekiranya anda ingin memeasukan elemen ini di dalam pekan ataupun perbandaran anda. Sekiranya anda di kalangan mereka yang bukan benar-benar pasti akan apakah focal point yang sebaiknya anda serlahkan, dapatkan nasihat rakan-rakan seangkatan, ataupun di kalangan mereka yang berkecimpung di dalam bidang landskap. Mana tahu, cadangan mereka juga mungkin ada betulnya dan serasi dengan apa yang anda idamkan.










Arca-arca yang unik juga merupakan antara pilihan yang baik untuk dijadikan titik tumpu di dalam persembahan landskap.




Keunikan arca (yang selalunya dijadikan titik tumpu) mampu mencuri perhatian pengguna ataupun orangramai. Sesetengah arca digemari kerana ia mengingatkan kita akan lokasi berkenaan sementara sebahagian pengguna pula suka bergambar berlatarbelakang arca-arca ini sebagai kenag-kenangan. Sesuaikan saiz arca dengan ruang yang anda ada. sesuaikan juga dengan jenis taman anda!


Binalah focal point dengan naluri anda…